‘Jangan samakan lesen inap desa kecil dengan hotel’ - Suee Lim

Iklan
Suee Lim semasa sidang DUN pada Selasa.

SHAH ALAM - Pengusaha inap desa berskala kecil di Selangor tidak wajar dikenakan syarat pelesenan sama seperti hotel atau operator penginapan komersial berskala besar.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, kerajaan negeri sedang memperhalusi garis panduan pengoperasian inap desa dengan mengambil kira perbezaan skala serta risiko operasi setiap pengusaha.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pendekatan pelesenan secara berkadar akan dipertimbangkan supaya syarat teknikal dan pemantauan dapat disesuaikan mengikut kapasiti serta jenis penginapan.

"Inap desa khususnya di Permatang, Kuala Selangor, Tanjong Karang, Sekinchan, Sabak Bernam dan Sungai Besar banyak yang berskala kecil.

Iklan

"Ada yang hanya mempunyai enam, lapan atau 10 bilik dan diusahakan di kawasan bendang atau perumahan kampung, jadi kita perlu ambil satu garis panduan bagaimana kita boleh membantu pengusaha kecil ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Nurul Syazwani Noh (PN-Permatang) mengenai status permohonan lesen inap desa pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Selasa.

Iklan

Suee Lim berkata, antara perkara yang sedang dipertimbangkan termasuk kapasiti dan bilangan bilik, jenis serta lokasi premis, skala operasi, tahap risiko keselamatan, keperluan tempat letak kenderaan, impak terhadap kejiranan dan kemudahan yang disediakan.

Beliau memberitahu, pendekatan itu membolehkan syarat teknikal, bayaran serta keperluan pemantauan ditetapkan secara lebih munasabah bagi pengusaha kecil tanpa menjejaskan aspek keselamatan, kebersihan, kesihatan awam dan ketenteraman setempat.

"Kerajaan negeri mahu pendekatan yang memudah cara dan mesra rakyat untuk membantu pengusaha kecil, namun soal keselamatan dan syarat minimum tidak boleh dikompromikan.

"Apabila pelancong datang menginap dan berlaku sesuatu seperti malapetaka, musibah atau kebakaran sehingga meragut nyawa, aspek keselamatan dan insurans perlu dipertimbangkan," jelas beliau.

Mengulas lanjut, Suee Lim memberitahu, permohonan terbaharu lesen pengoperasian inap desa di kawasan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) masih belum dibuka semula kerana pihak berkuasa tempatan itu sedang memuktamadkan garis panduan berkaitan.

Menurutnya, garis panduan itu merangkumi aspek kesesuaian guna tanah, perancangan dan bangunan, pelesenan, keselamatan, tempat letak kenderaan serta kawalan pengoperasian.

"Untuk sementara waktu, kita akan pantau dan beri nasihat kepada pengusaha supaya mereka mematuhi keperluan yang ditetapkan serta datang memohon apabila permohonan dibuka.

"Jangka panjangnya, garis panduan ini akan dikemukakan selepas kita teliti dari A hingga Z supaya apabila dilaksanakan ia benar-benar dapat membantu pengusaha," tambah beliau.