Kontraktor utiliti perlu permit JKR sebelum korek jalan

Iklan
Mohammad Nizar (kanan) menerima cenderahati daripada Zamri selepas merasmikan Program Sesi Town Hall JKR Perak Bersama KUDR dan syarikat utiliti di sebuah hotel di sini pada Selasa.

IPOH – Semua syarikat utiliti diwajibkan mendapatkan permit daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum menjalankan kerja pengorekan di rizab jalan di bawah seliaan jabatan berkenaan.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, tindakan itu penting bagi memastikan kerja pengorekan dapat diselaraskan selain mengelakkan pertindihan yang boleh menjejaskan pengguna jalan raya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Koridor Utiliti Darul Ridzuan (KUDR) akan bekerjasama dengan JKR bagi memetakan kedudukan kabel dan paip utiliti di bawah tanah sebelum sesuatu permohonan pengorekan diluluskan.

“Paling utama, sebelum mereka membuat kerja-kerja di lapangan, mereka kena minta kelulusan daripada JKR dan mendapatkan permit. Tanpa permit, mereka tidak boleh masuk atau menyentuh rizab jalan JKR.

Iklan

“Semua utiliti termasuk agensi kerajaan yang mahu membuat kerja seperti pemasangan paip air atau gas juga perlu mendapatkan kelulusan dan permit daripada JKR,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Sesi Town Hall JKR Perak Bersama KUDR dan syarikat utiliti di sebuah hotel di sini pada Selasa.

Mohammad Nizar berkata, melalui kerjasama JKR dan KUDR, kaedah pemetaan bawah tanah dapat dilaksanakan bagi mengenal pasti kedudukan kabel atau paip sedia ada sebelum kerja pengorekan dijalankan.

Iklan

Katanya, langkah itu dapat mengelakkan kejadian seperti kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) atau paip Lembaga Air Perak (LAP) terkena ketika kerja pengorekan dilakukan.

“Jadi, jika terdapat potensi perlanggaran dengan mana-mana kabel atau paip, maklumat itu akan diberikan supaya kawasan berkenaan dapat dielakkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penyelarasan tersebut turut bertujuan mengelakkan kerja pengorekan berulang yang menyebabkan kesesakan serta menyusahkan pengguna jalan raya.

Katanya, rizab jalan JKR yang terhad menyebabkan kerja pengorekan boleh mengganggu pergerakan kenderaan sekiranya dilakukan berulang kali.

Mohammad Nizar berkata, aspek pemulihan jalan selepas kerja pengorekan turut perlu diberi perhatian apabila kontraktor diwajibkan mematuhi spesifikasi dan piawaian ditetapkan JKR.

“Masalah yang berlaku ialah hari ini korek, buat turapan dan tidak sampai sebulan jalan itu pecah semula. Ini berlaku apabila kontraktor tidak mengikut piawaian JKR.

“Jenis bitumen, lapisan turapan dan kaedah penyempurnaan semuanya sudah ditetapkan JKR. Tidak boleh sewenang-wenangnya mencari kontraktor murah tanpa mengambil kira piawaian yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JKR Perak, Zamri Mat Kasim berkata, antara punca jalan mudah mendap selepas kerja pembaikan paip ialah lapisan asas jalan yang lembut tidak dikeluarkan sepenuhnya.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan permukaan jalan kembali mendap walaupun lapisan turapan di bahagian atas dibuat mengikut ketebalan ditetapkan.