MARA pecah ‘kartel’ kontrak dewan selera MRSM, aduan makanan semakin kurang – Asyraf Wajdi

Iklan
Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – Aduan berkaitan kualiti makanan di dewan selera Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) kini semakin berkurangan selepas tindakan tegas diambil bagi memecahkan kumpulan kartel yang didakwa menguasai kontrak makanan institusi berkenaan.

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, usaha itu dilakukan termasuk menerusi pemeriksaan mengejut atau ‘terjah’ ke MRSM selepas menerima banyak aduan daripada ibu bapa dan pelajar sejak beliau diberikan amanah menerajui agensi itu tiga tahun lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, antara maklumat yang diterima ketika itu ialah kewujudan kartel yang didakwa menguasai kontrak-kontrak dewan selera.

“ALLAH SWT nak tunjuk, pada tahun pertama banyak aduan daripada ibu bapa bahkan pelajar sendiri di ruangan media sosial yang mengadu mengenai kualiti makanan dan kes keracunan.

Iklan

“Daripada aduan-aduan ini, saya bertekad untuk memecahkan kartel-kartel ini dan mula turun secara mengejut ke MRSM atas nama ‘terjah’. Ternyata aduan-aduan ini ada asasnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Menerusi pemeriksaan mengejut berkenaan, beliau sendiri menyaksikan pelbagai isu berkaitan tahap kebersihan dewan selera selain timbangan ikan dan saiz ayam yang didakwa tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

Iklan

Menurutnya, pemeriksaan itu turut memberi ruang kepada pelajar untuk menyampaikan sendiri aduan berkaitan kualiti makanan.

“Pelajar sendiri berani dan selesa mengadu apa jua yang berkaitan dengan kualiti makanan,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, susulan itu beliau turut mengarahkan dan memantau sendiri pihak pengurusan MARA dalam melaksanakan transformasi besar-besaran terhadap proses pemilihan tender makanan.

Katanya, tindakan tegas turut diambil sehingga beberapa kontrak ditamatkan apabila didapati tidak memenuhi kualiti perkhidmatan serta syarat perjanjian yang ditetapkan.

“Jangan sedikit pun khuatir, bahkan perlu melawan asalkan segala tindakan dilakukan mengikut prosedur dan proses yang betul demi kemaslahatan anak-anak pelajar di bawah amanah MARA,” jelasnya.

Asyraf Wajdi berkata, terdapat juga pihak yang mengambil tindakan saman terhadap beliau dan MARA susulan tindakan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, kebajikan pelajar perlu menjadi keutamaan kerana mereka merupakan aset penting negara pada masa depan.

Dalam hantaran sama, beliau menegaskan kebajikan anak-anak pelajar di semua Institusi Pendidikan MARA (IPMA), termasuk MRSM, akan terus diberikan perhatian.

“Kebajikan anak-anak pelajar di semua IPMA termasuk MRSM adalah menjadi keutamaan kerana mereka merupakan aset penting negara pada masa depan dan amanah bangsa yang perlu dibentuk dengan baik demi kemaslahatan masa depan,” katanya.