OTTAWA - Sebuah penerbangan di Kanada terpaksa dibatalkan selepas seorang kanak-kanak enggan duduk dan memakai tali pinggang keledar sebelum pesawat berlepas ketika kejadian pada minggu lalu.
Porter Airlines memaklumkan ibu atau bapa kanak-kanak itu bersama kru kabin telah beberapa kali cuba memastikan kanak-kanak tersebut duduk di tempatnya dan memakai tali pinggang keledar, namun gagal.
Pesawat itu kemudian terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Victoria di British Columbia bagi membolehkan ibu atau bapa bersama kanak-kanak berkenaan serta bagasi mereka dikeluarkan dari pesawat.
Kesemua penumpang lain turut diminta turun sementara pelan penerbangan baharu disediakan dan urusan dokumentasi berkaitan diselesaikan.
Bagaimanapun, kelewatan itu menyebabkan penerbangan menuju Toronto melepasi waktu penutupan landasan pada 12.30 tengah malam (waktu tempatan) hingga kesemua penumpang terkandas.
Dalam satu kenyataan, Porter Airlines berkata, kanak-kanak itu berdiri di tempat duduknya, sekali gus mewujudkan keadaan tidak selamat untuk pesawat berlepas.
Umur kanak-kanak itu dan jumlah penumpang yang menaiki pesawat berkapasiti 132 tempat duduk itu bagaimanapun tidak didedahkan.
Syarikat penerbangan berkenaan memohon maaf kepada penumpang yang terjejas dan mengesahkan mereka menaiki penerbangan lain pada hari berikutnya.
Beberapa penumpang memberitahu penyiar Kanada, CBC bahawa kejadian itu mencetuskan 'banyak kekecewaan'.
Seorang penumpang, Aryeh Kozuch berkata, kanak-kanak itu bukan bersikap nakal atau tidak selesa sebaliknya berada dalam ketakutan kerana berulang kali bersembunyi di bawah tempat duduk apabila diminta memakai tali pinggang keledar. - Agensi