SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) mencadangkan sidang khas Dewan Rakyat bagi membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) yang dijadualkan pada Selasa ditangguhkan ke satu tarikh yang lebih sesuai.
Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, cadangan itu dibuat susulan perkembangan terkini keadaan kesihatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dalam proses pemulihan.
"Memandangkan isu TH merupakan perkara yang sangat penting dan melibatkan kepentingan awam, PN berpandangan bahawa adalah amat wajar sekiranya pembentangan laporan ini dibuat sendiri oleh Perdana Menteri.
"Ini kerana, Perdana Menteri sendiri telah membangkitkan perkara ini kepada pengetahuan umum ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sedangkan laporan RCI tersebut telah tersedia sejak beberapa tahun yang lalu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, Anwar selamat menjalani prosedur pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia perut atau para-umbilical hernia dan kini menjalani rawatan fisioterapi serta berada di bawah pemantauan pasukan pakar perubatan.
Takiyuddin berkata, pihaknya telah menghantar surat rasmi kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul bagi memohon penangguhan sidang berkenaan.
"Kehadiran Perdana Menteri sendiri di Dewan Rakyat untuk membentangkan dan memberikan penjelasan berhubung laporan RCI ini adalah amat signifikan.
"Ia bukan sahaja penting dari sudut ketelusan dan akauntabiliti, malah wajar bagi memastikan rakyat mendapat penjelasan yang menyeluruh dan komprehensif mengenai perkara yang pernah dibangkitkan oleh Perdana Menteri sendiri sebelum ini," ujar beliau.
Pada masa sama, PN turut mendoakan agar Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dikurniakan kesembuhan segera serta dapat kembali menjalankan tugas seperti biasa.
Fadillah dilaporkan akan menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) dalam masa terdekat atas nasihat pasukan pakar perubatan.