SHAH ALAM - Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) mengambil pendirian tegas bahawa setiap keluhan dan aduan guru perlu didengar sebelum ia menjadi isu yang lebih besar atau tular di media sosial.
Presiden Kesatuan Guru-Guru Malaysia Barat (KGMMB), Dr Mohd Sobri Yusuf berkata, isu aduan guru yang hangat diperkatakan ketika ini perlu dilihat sebagai satu peringatan penting bahawa mekanisme mendengar suara guru di peringkat akar umbi perlu terus diperkasakan.
"Justeru, KGMMB Pusat mengambil langkah proaktif dengan menggerakkan kesemua 18 cawangan KGMMB di seluruh Semenanjung Malaysia untuk memperkukuh sistem penerimaan dan pengurusan aduan dalam kalangan ahli.
"Prinsip KGMMB jelas bahawa guru yang mempunyai masalah perlu tahu ke mana hendak mengadu, siapa yang akan mendengar dan apakah tindakan susulan yang boleh diambil," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mohd Sobri menegaskan, sistem aduan yang baik bukan bermaksud menggalakkan guru membuat aduan tanpa kawalan.
Sebaliknya jelasnya lagi, setiap aduan perlu diterima dengan terbuka, ditapis secara profesional, disemak faktanya dan disalurkan melalui saluran yang betul.
"Sehubungan dengan itu Jawatankuasa KGMMB Cawangan akan menjadi barisan hadapan untuk menerima dan menyantuni aduan ahli.
"Bagi isu yang melibatkan kepentingan atau bidang kuasa peringkat negeri, perkara tersebut akan diangkat melalui perbincangan dan mesyuarat bersama pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN)," katanya.
Jelasnya lagi, sebarang isu yang melibatkan dasar, peraturan, kepentingan guru secara meluas atau mempunyai implikasi nasional akan dibawa oleh KGMMB Pusat kepada pihak pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Tambahnya lagi, menerusi pendekatan tersebut, KGMMB mahu memastikan aduan tidak sekadar dicatat, tetapi mempunyai laluan tindakan yang jelas.
"KGMMB berpandangan bahawa media sosial tidak seharusnya menjadi satu-satunya ruang untuk guru mendapatkan perhatian terhadap masalah yang dihadapi.
"Sekiranya sistem aduan yang mudah dicapai dan diyakini tersedia di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan, guru seharusnya mempunyai ruang yang lebih selamat dan tersusun untuk menyampaikan permasalahan mereka.
"Kita tidak mahu guru terpaksa menunggu sesuatu isu menjadi tular barulah semua pihak memberi perhatian," ujarnya lagi.