KUALA LUMPUR - Pelumba sensasi Moto3 negara, Hakim Danish Ramli terpaksa menamatkan saingan Grand Prix (GP) Britain awal selepas terjatuh pada pusingan kelima di Litar Silverstone hari ini.
Pelumba berusia 19 tahun itu yang memulakan perlumbaan dari petak kesembilan, terlibat dalam kemalangan pada pusingan kelima yang turut membabitkan pelumba Sepanyol, Adrian Cruces.
Hakim Danish yang mewakili AEON Credit-MT Helmets-MSi terpaksa keluar dari litar dalam usaha mengelak daripada melanggar Cruces yang terjatuh selepas dilanggar motosikal pelumba lain dari arah belakang.
Insiden itu menyaksikan Hakim Danish gagal mengutip sebarang mata pada pusingan ke-12 Kejuaraan Dunia Moto3 selepas merekodkan keputusan tidak menamatkan perlumbaan (DNF).
Pelumba Liqui Moly Dynavolt Intact GP, David Almansa, muncul juara perlumbaan 15 pusingan itu dengan catatan masa 32 minit 45.26 saat.
Pelumba Red Bull KTM Ajo, Alvaro Carpe menduduki tempat kedua, 0.701 saat di belakang, manakala rakan sepasukannya Valentin Perrone, melengkapkan podium di tempat ketiga dengan perbezaan 0.991 saat.
Hakim Danish, yang kini menduduki tangga kelapan kejuaraan dengan 86 mata, dijadualkan kembali beraksi pada GP Aragon, Sepanyol, pada 30 Ogos ini. - Bernama