Warga emas tinggal di hentian bas dibawa untuk rawatan

Iklan
Pihak JKM dan PKMD Kinta membawa warga emas itu untuk dibersihkan, diberikan pakaian bersesuaian, makanan serta keperluan asas sebelum dibawa ke hospital bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut.

IPOH - Seorang warga emas yang dilaporkan tinggal lebih seminggu di sebuah hentian bas di hadapan Klinik Kesihatan Greentown di sini akhirnya dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan penilaian kesihatan lanjut.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, tindakan segera diambil selepas pihaknya menerima maklumat mengenai keadaan warga emas berkenaan yang tular di media sosial.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika ditemui, warga emas terbabit berada dalam keadaan tidak terurus dengan pakaian dan tubuh dipenuhi najis selain memerlukan perhatian serta bantuan segera.

"Saya telah meminta JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) Negeri Perak melalui PKMD (Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah) Kinta untuk segera turun ke lokasi dan mengambil tindakan sewajarnya.

Iklan

"Alhamdulillah, warga emas itu berjaya dibawa ke PKMD Kinta dengan bantuan polis walaupun pada awalnya dia enggan memberikan kerjasama," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Salbiah berkata, warga emas itu kemudiannya dibersihkan, diberikan pakaian bersesuaian, makanan serta keperluan asas sebelum dibawa ke hospital bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut.

Iklan

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah JKM Negeri Perak, Ismail serta pasukan JKM, PDRM dan semua pihak yang membantu menguruskan kebajikan warga emas berkenaan.

"Isu seperti ini bukan tugas JKM semata-mata. Kebajikan masyarakat adalah tanggungjawab kita bersama.

"Terima kasih kepada orang awam yang prihatin dan menyalurkan maklumat. Kadangkala satu aduan dan satu tindakan kecil daripada kita boleh membawa perubahan besar kepada kehidupan seseorang," katanya.

Menurutnya, kebajikan warga emas terbabit akan terus dipantau dan tindakan susulan dilaksanakan berdasarkan keperluannya.