KAJANG -"Saya cuba jelaskan ada kereta berhenti secara cemas sebab itu saya elak tetapi dia terus marah".
Demikian kata pemandu Ferrari yang tular dalam video pergaduhan dengan pemandu sebuah Perodua Aruz di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) baru-baru ini.
Ahli perniagaan, Tiang How Soon, 40, berkata, ketika kejadian dia bersama isteri dan anak berusia empat tahun dalam perjalanan ke Melaka sebelum terpaksa menukar laluan bagi mengelak kenderaan yang berhenti secara mengejut.
Menurutnya, dia ketika itu bimbang tidak sempat memberhentikan kenderaan dan khuatir menyebabkan kemalangan lebih besar.
"Saya cuba brek tetapi saya risau tidak sempat berhenti dan melanggar kereta depan, jadi untuk elak kemalangan lagi besar sebab itu saya tukar lorong.
"Saya tengok cermin sisi, saya nampak Aruz itu ada jarak lebih kurang dua ke tiga kereta lagi, jadi saya berhenti di lorong tengah dan kereta dia sampai, tidak ada kemalangan pun tetapi dia marah-marah, dia jerit dekat bahagian penumpang saya," katanya ketika sidang akhbar di Biro Aduan Awam DAPSY Selangor pada Ahad.
Media sebelum ini melaporkan, polis sedang mengesan pemandu Perodua Aruz yang disyaki memukul pemandu Ferrari dalam kejadian pergaduhan di tengah Lebuhraya PLUS yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.40 petang daripada salah seorang pemandu yang terbabit dalam insiden berkenaan.
Dalam pada itu, How Soon cuba menjelaskan ada kereta berhenti secara cemas sebab itu dia terpaksa elak tetapi pemandu Aruz itu terus memarahinya.
Jelasnya, keadaan menjadi tegang apabila pemandu terbabit didakwa memarahinya dan memaki menyebabkan dia meminta lelaki itu berhenti berbuat demikian kerana anaknya berada di dalam kenderaan.
"Dia marah dan mencarut, saya minta dia jangan begitu kerana saya ada anak kecil, dia sudah takut.
"Saya turun dari kereta dan ketika itu ada beberapa orang lain yang cuba bantu tetapi tiba-tiba dia pukul saya, dia sepak dan tumbuk muka saya," katanya.
Menurutnya, kejadian itu bukan berpunca daripada sebarang pelanggaran antara kedua-dua kenderaan dan dia tidak berniat untuk mencetuskan kekecohan.
Katanya, ketika kejadian dia bersama keluarga menyertai konvoi kereta ke Melaka namun ketinggalan selepas keluar dari sebuah stesen minyak.
"Kami bukan berlumba atau memandu secara melulu, saya cuma cuba mengelak daripada berlaku kemalangan lebih besar.
"Kalau berlaku kemalangan, bukan sahaja saya dan keluarga saya yang terlibat, tetapi pengguna jalan raya lain juga boleh terjejas," katanya.
How Soon berkata, kejadian berkenaan turut memberi kesan kepada anaknya yang berusia empat tahun selain menimbulkan pelbagai persepsi terhadap dirinya susulan video pergaduhan itu tular di media sosial.
Beliau pada masa sama berharap kejadian berkenaan menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya tidak mudah bertindak mengikut emosi ketika berada di jalan raya.
"Jadi sepatutnya dia boleh berbincang dengan saya, kalau kes kecil macam ini dia pukul orang sampai mahu masuk penjara, berbaloi kah? Kasihan pada keluarga dia nanti.
"Saya pun tidak mahu komen banyak sebab polis sedang jalankan siasatan, sebagai seorang bapa dan orang yang ada keluarga, saya tidak mahu keluarga dia bermasalah nanti," katanya.