Bijih besi di Muzium Bukit Besi

Iklan

DUNGUN - Bijih besi dipamerkan di Muzium Bukit Besi.

Bukit Besi yang kini dikenali sebagai antara destinasi warisan sejarah penting di daerah Dungun suatu ketika dahulu pernah menjadi nadi ekonomi Terengganu dan negara menerusi industri perlombongan bijih besi yang berkembang pesat selepas negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Iklan
Iklan

Kegemilangan Bukit Besi sebagai pusat perlombongan terserlah menerusi sumbangan hasil cukai eksport bijih besinya yang mencecah hampir RM12 juta kepada Terengganu pada 1962 selain hasil daripada kegiatan perlombongan berkenaan menyumbang kira-kira satu pertiga daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri.

Angka itu sekali gus menggambarkan betapa besar peranan industri bijih besi Bukit Besi dalam memacu pertumbuhan ekonomi serta pembangunan Terengganu pada ketika itu.

Iklan

Kegiatan perlombongan secara besar-besaran di Bukit Besi bermula pada 1930 di bawah pengurusan syarikat Jepun, Nippon Mining Company, sebelum operasi berkenaan diambil alih syarikat British, Eastern Mining and Metal Company (EMMCO), pada 1950 selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua.

Di bawah pengurusan EMMCO, Bukit Besi berkembang pesat daripada sebuah kawasan perlombongan di pedalaman kepada sebuah bandar perlombongan yang moden dan tersusun, lengkap dengan pelbagai kemudahan asas serta infrastruktur.

Iklan

Perkembangan itu bukan sahaja mengubah landskap Bukit Besi, malah mencorakkan kehidupan masyarakat setempat dan meninggalkan legasi sejarah yang terus dikenang hingga ke hari ini. Foto Bernama