KEMAMAN – [DIKEMAS KINI] Polis menahan tiga lelaki berketurunan Rohingya bagi membantu siasatan berhubung kes jenayah seksual melibatkan seorang wanita orang kurang upaya (OKU) di kawasan Flat Kampung Enjin Gergaji, Chukai, di sini.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, tangkapan itu dibuat pada Sabtu susulan aduan diterima daripada seorang wanita tempatan berusia 20 tahun pada Jumaat.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek berusia antara 19 hingga 28 tahun itu bekerja sebagai buruh binaan dan pekerja pembersihan telah direman bagi tindakan lanjut.
"Permohonan reman ke atas kesemua suspek telah dibenarkan bermula 8 Ogos sehingga 12 Ogos ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
"Siasatan masih lagi terbuka untuk mengenalpasti suspek lain yang mungkin sebenarnya terlibat.
"Pihak polis juga perlu memperhalusi kes ini dan mangsa juga mesti diberi ruang masa secukupnya sebelum siasatan dilengkapkan memandangkan mangsa adalah seorang wanita OKU (Intelektual) berumur 23 tahun," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Mengulas mengenai gambar dan video tular di media sosial melibatkan perhimpunan orang ramai di hadapan flat berkenaan pada jam 8.30 malam Sabtu lalu, Mohd Razi menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak berasas.
Jelas beliau, orang ramai diminta berhati-hati ketika menggunakan platform media sosial supaya tidak mencetuskan situasi panik, tidak harmoni, atau menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.
"Segala maklumat yang diperoleh mestilah disahkan dahulu dan diyakini kebenarannya.
"Polis juga menasihati orang ramai untuk tidak mengambil tindakan yang terburu-buru ke atas mereka yang berketurunan Rohingya dan secara tidak langsung menjuruskan diri mereka dalam jenayah," katanya.
Tambah beliau, pihak polis sentiasa bersedia memberikan penjelasan berhubung kes berkenaan pada bila-bila masa.
Katanya, mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau talian 09-8592222 sambungan kepada Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Mohd Hadaza Mat Amin.