IPOH – Kehilangan deria penglihatan pada usia muda bukan sahaja memusnahkan impian yang dibina sejak kecil, malah memaksa seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) mencari haluan baharu untuk meneruskan kehidupan.
Itulah yang dihadapi Khairruddin Mazli, 35, apabila penglihatannya mula kabur akibat glaukoma seawal usia 17 tahun.
Namun, bagi lelaki kental itu, kegelapan yang menyelubungi hidupnya bukan noktah sebuah perjuangan, sebaliknya menjadi titik permulaan perjalanan yang akhirnya mengangkat beliau sebagai usahawan berjaya, penerima Anugerah Usahawan OKU Perak dan terbaru, Ikon Asnaf Perak.
“Selepas dua atau tiga tahun, kedua-dua mata saya terus buta akibat glaukoma,” katanya ketika ditemui di pusat urutan dan refleksologi miliknya di Bandar Meru Raya di sini.
Menyedari peluang pekerjaan untuk OKU penglihatan agak terhad, Khairruddin mengambil keputusan mempelajari kemahiran urutan melalui program disediakan Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
Baginya, keputusan itu bukan kerana minat semata-mata, sebaliknya didorong keperluan untuk membina semula kehidupan.
“Ramai OKU penglihatan memilih bidang urutan kerana peluangnya lebih terbuka.
“Saya pun bermula begitu dan alhamdulillah dalam tempoh dua hingga tiga bulan saya sudah dapat menguasai kemahiran asas,” katanya.
Anak keempat daripada enam beradik itu memulakan langkah secara kecil-kecilan di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz atau Padang Polo sekitar 2014 sebelum berpindah ke Bulatan Sultan Azlan Shah.
Ketika itu, hanya berbekalkan kerusi urut dan semangat, beliau menunggu pelanggan setiap hari.
Malah, beliau pernah terjatuh ke dalam longkang besar sehingga patah gigi hadapan ketika mencari rezeki di tepi jalan.
Lebih mencabar, masyarakat pada awalnya kurang yakin dengan kemampuan seorang tukang urut yang tidak dapat melihat.
“Dua bulan pertama hampir tiada pelanggan. Orang tak percaya orang buta boleh mengurut.
“Bila mereka mula mencuba dan berpuas hati, barulah pelanggan datang melalui promosi mulut ke mulut,” ujarnya.
Kepercayaan pelanggan yang semakin meningkat akhirnya membolehkan beliau menyewa sebuah premis di Meru Raya yang kini menjadi Sufi Reflexology.
Hari ini, pusat urutan itu beroperasi setiap hari dari jam 9.30 pagi hingga 10 malam dengan dibantu empat pekerja.
Pelanggannya bukan sahaja dari sekitar Perak, malah ada yang sanggup memandu dari Kuala Lumpur dan Kedah semata-mata mendapatkan rawatan refleksologi.
“Ada pelanggan dari Kuala Lumpur yang datang hanya untuk urut kaki, kemudian terus pulang.
“Ada doktor yang sendiri mencadangkan mereka datang ke sini jika berada di Ipoh,” katanya.
Selain menawarkan urutan badan dan refleksologi, Khairruddin turut menerima jemputan memberikan perkhidmatan di pelbagai program kerajaan serta pernah memperoleh kontrak selama setahun menyediakan khidmat urutan kepada kakitangan sebuah agensi kerajaan di Ipoh.
Di luar bidang keusahawanan, Khairruddin juga pernah mewakili Malaysia dalam sukan bola sepak OKU penglihatan.
Malah, beliau turut mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi ekspedisi kayak OKU dari Sungai Siput ke Kuala Kangsar, sekali gus membuktikan kekurangan penglihatan tidak membataskan dirinya untuk mencuba cabaran baharu.
Walaupun kejayaan semakin dirasai, beliau mengakui cabaran masih wujud terutama persaingan dengan pengusaha urutan bergerak yang mampu menawarkan perkhidmatan dari rumah ke rumah.
Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga menjadi detik paling sukar apabila simpanannya hampir habis kerana premis tidak dapat beroperasi.
Namun, bantuan MAIPk, PASAK dan SME Corp menjadi pemangkin untuk beliau terus bertahan sehingga perniagaannya kembali pulih.
Bagi Khairruddin, kejayaan sebenar bukan diukur melalui anugerah yang diterima, sebaliknya apabila dapat membantu orang lain.
Beliau yang memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Tiga dalam bidang urutan terapi dan refleksologi kini sedang melanjutkan pengajian ke Diploma Kemahiran Malaysia Tahap Empat.
Pada masa sama, premisnya turut didaftarkan sebagai pusat latihan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) bagi melatih lebih ramai individu, khususnya golongan OKU, menceburi bidang urutan secara profesional.
“Saya mahu lebih ramai OKU berjaya berdikari. Kalau ada peluang belajar kemahiran, ambillah. Dari situ kita bina kehidupan sendiri dan jangan pernah rasa rendah diri,” katanya.
Pengiktirafan sebagai Ikon Asnaf Perak yang disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Sambutan Maal Hijrah 1448H disifatkannya sebagai amanah untuk terus berbakti kepada masyarakat.