Tindakan sita kontena muatan ke Israel bukti ketegasan Malaysia - Anwar

Iklan
Anwar berkata, tindakan itu membuktikan ketegasan Malaysia dalam memastikan negara tidak menjadi laluan dagangan yang boleh menyokong atau menyumbang kepada kekejaman rejim Israel terhadap rakyat Palestin.

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) atas tindakan pantas menyita sebuah kontena yang disyaki membawa muatan dagangan strategik untuk dieksport ke Israel di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor semalam.

Menerusi catatan di Facebook, beliau berkata, tindakan itu membuktikan ketegasan Malaysia dalam memastikan negara tidak menjadi laluan dagangan yang boleh menyokong atau menyumbang kepada kekejaman rejim Israel terhadap rakyat Palestin.

Iklan
Iklan

Anwar berkata, Malaysia akan terus berpegang teguh kepada prinsip kemanusiaan, keadilan dan undang-undang antarabangsa dalam mempertahankan hak serta maruah rakyat Palestin.

Terdahulu, AKPS dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menahan serta memeriksa sebuah kontena di PTP semalam yang disyaki membawa dagangan untuk dieksport ke Israel.

Iklan
Iklan

Menurut agensi itu, penghantaran berkenaan disyaki tidak mematuhi Item No.15 Jadual Kedua, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2023 yang memperuntukkan larangan pengeksportan barangan secara langsung atau tidak langsung ke Israel selaras dengan dasar dan ketetapan Kerajaan Malaysia.- Bernama