KOTA BHARU – Isu import udang dari Thailand ke Malaysia dijangka diselesaikan pada pertengahan bulan ini, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata, rundingan antara kedua-dua negara kini berada di peringkat akhir sebelum penyelesaian terhadap isu berkenaan dicapai.
Iklan
Iklan
“Sekarang perbincangan di peringkat akhir dan penyelesaiannya, insya-ALLAH, di pertengahan bulan ini,” katanya selepas merasmikan Program Road To MAHA 2026 Zon Timur di sebuah pasar raya di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, Mohamad dilaporkan berkata kerajaan sedang berusaha menyelesaikan isu sekatan import udang Thailand ke Malaysia yang berkuat kuasa mulai 1 Jun lalu.
Pada masa sama, Malaysia turut berdepan sekatan eksport udang tempatan ke Thailand yang berlarutan sejak 2017, selain pemeriksaan ketat terhadap eksport ikan siakap Malaysia ke negara berkenaan.
Pada 21 Julai lalu, Mohamad berkata rundingan berkaitan perdagangan produk perikanan dan pertanian antara kedua-dua negara berada di peringkat akhir selepas pegawai Kementerian Pertanian Thailand mengadakan lawatan ke Malaysia.
Beliau ketika itu berkata hasil rundingan berkenaan dijangka memberi manfaat kepada kedua-dua negara.