BAGAN SERAI - Lebih 1,200 pesawah di Bota, daerah Perak Tengah yang terjejas akibat masalah bekalan air dan cuaca panas sudah dikenal pasti untuk diberikan bantuan oleh kerajaan negeri.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, kerajaan negeri kini meneliti bentuk bantuan bersesuaian berdasarkan kehilangan pendapatan serta pengeluaran tanaman padi yang terjejas.
Menurutnya, perkara berkenaan akan dibawa untuk pertimbangan dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pada minggu depan.
"Lebih kurang 1,265 pesawah terlibat dan kerajaan negeri akan memberikan perhatian serius berdasarkan keperluan, kehilangan pendapatan serta pengeluaran mereka," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad merasmikan Peladang Agro Karnival Perak 2026 di Dewan Dato' Zainal Abidin Zin di sini pada Sabtu.
Mohd Zolkafly berkata, hasil tinjauan yang dilakukan kira-kira dua minggu lalu mendapati masalah di kawasan berkenaan berpunca daripada faktor cuaca panas selain isu teknikal berkaitan bekalan air.
Katanya, beberapa pam air milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengalami kerosakan selepas dimasuki pasir sehingga menjejaskan pengairan ke kawasan sawah.
"Pada masa sama, kita telah meminta agensi seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberikan ruang sedikit untuk lepasan air, manakala JPS diminta memperbaiki pam air yang rosak.
"Alhamdulillah, perkara itu dapat diselesaikan dengan baik dan saya mengucapkan terima kasih kepada jabatan serta agensi yang terlibat kerana komited mengatasi masalah bekalan air di Bota," katanya.
Beliau berkata, setakat ini hanya kawasan tanaman padi di Perak Tengah dikenal pasti terjejas akibat cuaca panas manakala pihaknya masih menunggu maklumat daripada jabatan dan agensi berkaitan sekiranya terdapat kawasan lain yang menghadapi masalah sama.
Sebelum ini menerusi laporan media, Mohd Zolkafly memaklumkan kerajaan negeri sedang meneliti bentuk bantuan yang sesuai kepada pesawah yang kehilangan pendapatan akibat tidak dapat memulakan penanaman.
Satu pasukan petugas juga berkemungkinan diwujudkan bagi mengkaji penyelesaian baharu terhadap isu bekalan air di kawasan luar jelapang padi.
Dalam pada itu, Mohd Zolkafly berkata, kerajaan perlu mengambil langkah segera bagi memastikan pesawah tidak beralih kepada tanaman lain susulan kekecewaan terhadap masalah yang dihadapi.
Katanya, aspek subsidi, bekalan baja, racun dan input pertanian perlu dipercepatkan bagi memastikan pesawah dapat menanam padi mengikut jadual ditetapkan.
"Pesawah telah banyak berkorban untuk rakyat, bukan sahaja di Perak tetapi seluruh negara kerana mereka menghasilkan beras yang menjadi makanan utama rakyat Malaysia.
"Jadi perkara ini perlu diberikan perhatian kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun kerajaan negeri," katanya.
Sinar Harian pada 18 Julai lalu melaporkan cuaca panas melampau yang berlarutan menjejaskan tanaman padi di beberapa kawasan di daerah Perak Tengah khususnya Bota apabila pesawah berdepan masalah kekurangan bekalan air.
Keadaan itu lebih membimbangkan apabila ada pesawah terpaksa menangguhkan penanaman atau tidak mengusahakan sawah mereka.