Anwar jamin siasatan RCI TH dilaksana tanpa kompromi

Iklan
Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Anwar Ibrahim di Istana Negara - Foto: FB Sultan Ibrahim

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan siasatan berhubung Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) akan dilaksanakan secara menyeluruh tanpa sebarang kompromi.

Beliau berkata, titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung perkara itu juga selari dengan iltizam kerajaan untuk memastikan setiap syor dan dapatan disiasat secara tuntas tanpa sebarang kompromi.

Iklan
Iklan

"Tabung Haji menguruskan amanah yang lahir daripada hasil keringat jutaan rakyat termasuk petani, penjawat awam dan golongan berpendapatan sederhana serta rendah yang menabung selama bertahun-tahun demi menyahut panggilan haji.

"Amanah sebesar ini tidak seharusnya dikhianati. Justeru, sesiapa yang didapati menyalahgunakan kepercayaan tersebut hendaklah diheret ke muka pengadilan menurut lunas undang-undang," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Iklan

Terdahulu Sultan Ibrahim bertitah supaya siasatan RCI TH dijalankan 'sehingga ke lubang cacing' supaya setiap pihak bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya, selain memastikan perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.

Dalam pada itu Anwar menegaskan, kerajaan akan terus berpegang teguh kepada prinsip tatakelola baik, ketelusan dan kebertanggungjawaban dengan memastikan keadilan ditegakkan serta setiap pengkhianatan terhadap amanah rakyat dikenakan tindakan tegas tanpa mengira kedudukan atau pangkat.

Iklan

Menurutnya, kerajaan juga akan terus memperkukuh kawalan keselamatan di semua pintu masuk negara melalui penguatkuasaan yang berkesan, pemantauan berterusan serta kerjasama erat antara agensi bagi membendung jenayah rentas sempadan, sekali gus memelihara keselamatan dan kedaulatan negara.

"Baginda Tuanku turut menyentuh perkembangan berkaitan Felda dan saya telah menyembah maklum mengenai kemajuan siasatan serta laporan Pasukan Petugas Khas yang sedang diperhalusi kerajaan agar segala penemuan diteliti secara menyeluruh dan tindakan sewajarnya diambil menurut lunas undang-undang.

"Insya-ALLAH saya dan seluruh jentera kerajaan akan sentiasa menjunjung titah Baginda Tuanku demi memperkukuh tadbir urus, penguatkuasaan dan keselamatan negara, sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat keseluruhannya," ujarnya.