RCI TH: Pelan pemulihan berjaya kukuhkan kedudukan kewangan

Iklan
Keberkesanan langkah pemulihan itu juga dapat dilihat menerusi keupayaan TH menjana pulangan yang lebih mampan. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Kedudukan Lembaga Tabung Haji (TH) pada Sabtu menunjukkan perubahan ketara, hasil daripada langkah pemulihan yang dilaksanakan sejak proses penstrukturan semula institusi berkenaan.

Penyahklasifikasian sepenuhnya Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH bukan sahaja membolehkan dapatan suruhanjaya itu diteliti umum, malah memperlihatkan tindakan susulan kerajaan dalam menangani kelemahan yang dikenal pasti bagi memperkukuh institusi berkenaan.

Iklan
Iklan

Di sebalik kelemahan yang dibangkitkan menerusi laporan itu, langkah pemulihan yang dilaksanakan berjaya menangani kerugian pelaburan berjumlah RM12.6 bilion.

Daripada jumlah itu, RM10 bilion ditangani menerusi Pelan Pemulihan 2018 manakala baki RM2.6 bilion diselesaikan secara berperingkat sehingga akhir 2025.

Iklan

Usaha memperkukuh TH turut menyaksikan 75 peratus daripada syor RCI dilaksanakan manakala kerajaan komited mempercepat pelaksanaan baki 25 peratus, selaras dengan penambahbaikan dalam aspek tadbir urus, disiplin pelaburan dan pengurusan risiko.

Keberkesanan langkah pemulihan itu juga dapat dilihat menerusi keupayaan TH menjana pulangan yang lebih mampan apabila pendapatan pelaburannya mencecah RM4.64 bilion tahun lepas, sekali gus mencatatkan prestasi terbaik sejak 2018.

Iklan

Laporan RCI memperincikan antara pelan pemulihan yang dilaksanakan adalah menerusi pemindahan aset kurang berdaya saing TH kepada syarikat tujuan khas (SPV) milik penuh kerajaan, iaitu Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) bagi membolehkan TH memberi tumpuan kepada mandat utamanya termasuk memastikan kelangsungan operasi haji.

Aset-aset TH yang kurang berdaya maju itu dipindahkan pada nilai RM19.9 bilion berbanding nilai pasaran RM9.7 bilion ketika itu, iaitu pada premium RM10.2 bilion.

RCI turut mendapati, kedudukan kewangan TH terpelihara hasil pemindahan aset kurang berdaya saing berkenaan selain merumuskan bahawa pelaksanaan Pelan Penstrukturan dan Pemulihan TH adalah solusi penting bagi menyelesaikan krisis kewangan yang dihadapi institusi itu.

Bagaimanapun, suruhanjaya berpandangan pelan berkenaan bukan penyelesaian jangka panjang kerana terdapat pelbagai isu yang masih kritikal yang perlu diatasi dan menggariskan beberapa aspek yang perlu terus diberi perhatian bagi memastikan kemampanan TH.

Kebimbangan utama adalah keupayaan penebusan Sukuk UJSB oleh kerajaan dan ketidakupayaan kerajaan memberi peruntukan belanjawan tunai tahunan seperti yang dijanjikan Jemaah Menteri. Ini boleh mengakibatkan pengagihan keuntungan kepada pendeposit tanpa bersandarkan aliran tunai yang berterusan.

Menurut RCI, tumpuan perlu juga diberikan dalam memperkukuh tadbir urus TH, menambah baik Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535), meningkatkan keberkesanan pengurusan risiko dan pengurusan kos secara berhemat serta memastikan kemampanan model perniagaan TH termasuk pengenalan struktur kawal selia yang memastikan LTH terus berdaya tahan. 

Dalam pada itu, TH dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan transaksi pindahan aset TH yang kurang berdaya maju itu kepada SPV dibiayai oleh dua siri sukuk terbitan UJSB yang diberi surat sokongan kerajaan dengan kadar keuntungan 4.05 peratus dan 4.10 peratus setahun.

"Sepanjang penerbitan sukuk, UJSB juga telah membuat beberapa tawaran untuk menjual aset kepada TH, namun kesemuanya tidak memenuhi kriteria penilaian TH,” menurut laporan sebelum ini. 

Bagaimanapun, selepas meneliti semula aset yang ditawarkan UJSB pada tahun ini, TH membeli semula tanah di Tun Razak Exchange (TRX) pada harga pasaran semasa RM270 juta, berbanding harga asal penjualan kepada UJSB sebanyak RM400 juta.

TH juga telah membeli semula ladang kelapa sawit UJ Estates (Holdings) Sdn Bhd pada harga RM695 juta berbanding harga penjualan asal RM800 juta.

Seiring proses pemulihan itu, prestasi TH turut menunjukkan peningkatan apabila kadar agihan keuntungan meningkat daripada 1.25 peratus bagi 2018 kepada 3.25 peratus bagi 2024 dan seterusnya 3.5 peratus bagi 2025.

Menurut TH, agihan keuntungan itu dibuat setelah mengambil kira rosot nilai aset bermasalah yang tidak dapat dipindahkan ke UJSB pada akhir 2018 atas sebab-sebab tertentu berjumlah RM2.6 bilion.

TH memaklumkan kedudukan kewangannya kini lebih kukuh dan institusi itu juga telah mula membina semula rizab untuk masa depan yang lebih stabil.- Bernama