SHAH ALAM - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan memanggil seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan membuat semakan sebelum menentukan kedudukan kerusi berkenaan sama ada berlaku kekosongan atau sebaliknya.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, proses pengesahan perlu dilakukan terlebih dahulu termasuk meneliti dokumen berkaitan sebelum sebarang keputusan dibuat berhubung status kerusi itu.
"Saya percaya Speaker akan memanggil beliau, menyemak dan sebagainya supaya pengesahan tentang kedudukan ADUN itu dapat diputuskan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan berkaitan status seorang ADUN Selangor susulan isu perintah kebankrapan yang dikenakan terhadap wakil rakyat berkenaan.
Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan, spekulasi mengenai kemungkinan berlakunya PRK di Selangor timbul susulan status kebankrapan seorang ADUN di negeri ini.
Bagaimanapun, perkembangan terbaharu menyaksikan Mahkamah Tinggi membatalkan Perintah Kebankrapan terhadap wakil rakyat berkenaan.
Sinar Harian pada Isnin lalu melaporkan, Speaker DUN Selangor, Lau Weng San belum mengesahkan kemungkinan berlaku kekosongan mana-mana kerusi DUN negeri itu, sebaliknya masih meneliti semua maklumat berkaitan.
Beliau berkata, semakan sedang dibuat secara menyeluruh membabitkan semua ADUN tanpa mengira parti sebelum sebarang keputusan dibuat.