‘Kaki game tegar, budak baik’: Siapa remaja 14 tahun di sebalik insiden tembakan sekolah di Thailand?

Iklan
Polis bersenjata berjalan melalui kawasan sekolah selepas insiden tembakan di daerah Bang Kruai, wilayah Nonthaburi, utara ibu negara Thailand, Bangkok, pada Jumaat. Foto: AFP

BANGKOK - “Saya takut mati dan saya takut tidak dapat mengejar impian saya.”

Demikian kata salah seorang mangsa kejadian tembakan di sebuah sekolah di Bangkok.

Iklan
Iklan

Ketakutan dan kesedihan menyelubungi sekolah berprestij Debsirin Nonthaburi pada Jumaat apabila bunyi tembakan kedengaran di kawasan sekolah.

Seramai sembilan orang termasuk penembak maut dalam kejadian itu, manakala 22 lagi cedera.

Iklan

Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, melahirkan rasa dukacita terhadap insiden tersebut.

“Ini sesuatu yang amat dahsyat. Saya sedih terhadap mereka yang terkorban dan sedih kerana perkara seperti ini berlaku di negara kita,” katanya.

Iklan

Insiden tembakan itu sekali lagi mencetuskan persoalan mengenai kawalan senjata api di Thailand.

Ketika penyiasat berusaha mengenal pasti motif serangan, berikut fakta yang diketahui setakat ini.

Tembakan dilepaskan dalam sekolah

Kira-kira jam 10 pagi, sukarelawan Yayasan Poh Teck Tung menerima laporan mengenai tembakan di Sekolah Debsirin Nonthaburi yang terletak di wilayah Nonthaburi, Bangkok.

Menurut pihak berkuasa, penembak yang juga seorang pelajar melepaskan 26 das tembakan sehingga menyebabkan pelajar bertempiaran menyelamatkan diri.

Guru-guru kemudian membawa pelajar masuk ke dalam bilik darjah, mengunci pintu, memadamkan lampu dan mengarahkan mereka meniarap di lantai sementara menunggu bantuan.

Seorang pelajar memberitahu BBC bahawa dia berada di hadapan gurunya ketika guru itu ditembak.

Orang ramai menenangkan isteri seorang guru yang terbunuh dalam insiden tembakan di sebuah sekolah di daerah Bang Kruai, wilayah Nonthaburi, utara ibu negara Thailand, Bangkok, pada Jumaat. Foto: AFP

“Dia sedang bercakap dengan saya apabila penembak muncul dan menembaknya. Saya tidak nampak apa-apa selain debu berterbangan. Dia bergerak dari satu bilik ke satu bilik. Meja saya sangat dekat dengan guru. Saya terpaksa memanjat pagar sekolah untuk melarikan diri bersama rakan-rakan,” katanya.

Seorang pelajar, Pawarisa Maylissa, yang bercita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan berkata, dia mendengar banyak tembakan kuat seolah-olah suspek berada di tingkat atas mereka.

“Saya juga boleh mendengar peluru menghentam lantai,” katanya kepada AFP.

Seorang lagi pelajar berusia 18 tahun memberitahu Reuters bahawa pada mulanya dia menyangka bunyi mercun atau objek dihentak.

“Saya tidak sangka itu bunyi pistol. Tembakan kedengaran bertalu-talu, kemudian senyap seketika sebelum bermula semula,” katanya.

Pihak berkuasa memaklumkan enam orang terbunuh tidak termasuk penembak.

Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata lima guru maut, manakala polis melaporkan tiga guru dan tiga pelajar terkorban.

Petugas kecemasan, Kiatikhun Verapongpradith, yang antara individu terawal tiba di lokasi berkata, pasukannya merawat pelajar yang cedera di belakang badan, dada dan lengan.

Mereka turut menemui seorang guru lelaki maut di tingkat atas sekolah dan seorang guru wanita cedera di dada dan lengan di bilik lain.

Menurutnya, penembak ditemui di salah sebuah bilik dalam keadaan menembak dirinya sendiri di bahagian kanan kepala.

“Apabila kami memeriksa nadinya, dia masih bernyawa lalu kami segera melakukan bantuan pernafasan (CPR),” katanya.

Bagaimanapun, remaja itu gagal diselamatkan.

Penembak berusia 14 tahun

Walaupun pihak berkuasa belum mendedahkan identitinya, laporan menyatakan penembak ialah pelajar lelaki berusia 14 tahun.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Thailand, Polapee Suwanchawee berkata, remaja itu merupakan kaki permainan video tegar.

Seorang guru sekolah pula memberitahu BBC bahawa pelajar tersebut dikenal sebagai ‘budak baik dengan rekod akademik yang baik’ dan tidak pernah diketahui bersikap agresif.

Pihak berkuasa berkata, pistol 9mm yang digunakan dalam serangan itu milik datuknya yang juga seorang guru.

Siasatan turut mendapati remaja itu dipercayai membunuh datuk dan neneknya sebelum pergi ke sekolah.

Kedua-dua warga emas itu ditemui mati di rumah mereka, menurut Menteri Kesihatan Awam Thailand.

Polis masih menyiasat motif sebenar kejadian.

Thailand dan sejarah tembakan rambang

Keganasan senjata api bukan perkara asing di Thailand yang menyaksikan beberapa siri tembakan maut dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini, termasuk melibatkan kanak-kanak.

Pada Februari lalu, seorang pengetua sekolah dan pelajar perempuan ditembak oleh penyerang berusia 18 tahun ketika kejadian kepungan sekolah di selatan Thailand.

Pada Julai tahun lalu, seorang penembak membunuh lima orang termasuk pengawal keselamatan dan peniaga di sebuah pasar di Bangkok sebelum menembak dirinya sendiri.

Insiden paling buruk berlaku pada Oktober 2022 apabila bekas anggota polis mengamuk menggunakan pistol dan pisau di beberapa lokasi selama tiga jam sehingga mengorbankan 36 orang termasuk 22 kanak-kanak di sebuah pusat jagaan di Nong Bua Lam Phu.

Penyerang berusia 34 tahun itu turut membunuh isteri, anak dan dirinya sendiri. Pihak berkuasa berkata, dia sebelum itu dipecat kerana memiliki dadah secara haram serta berdepan masalah kewangan, undang-undang dan keluarga.

Sebelum itu pada Februari 2020, seorang anggota tentera yang berang membunuh sekurang-kurangnya 29 orang dan mencederakan 57 yang lain dalam serangan di empat lokasi sekitar Nakhon Ratchasima.

Kebanyakan mangsa berada di sebuah pusat beli-belah, tempat penyerang bertahan semalaman menggunakan raifal dan peluru yang dicuri dari pangkalan tenteranya sebelum ditembak mati oleh pasukan keselamatan. - Agensi