Insiden tembakan sekolah di Thailand: Suspek dipercayai bunuh datuk, nenek sebelum serangan

Iklan
Orang ramai menenangkan isteri kepada seorang cikgu yang mati ditembak dalam insiden berdarah di sebuah sekolah di Thailand pada Jumaat. - Foto: AFP

BANGKOK - Pelajar yang disyaki terlibat dalam insiden tembakan di sebuah sekolah di wilayah Nonthaburi pada Jumaat dipercayai telah membunuh datuk dan neneknya di rumah mereka sebelum serangan itu.

Timbalan Ketua Polis Negara Thailand merangkap jurucakap Polis Diraja Thailand Leftenan Jeneral Trairong Piwpan berkata siasatan awal mendapati suspek melepaskan 26 das tembakan sebelum tiba di sekolah berkenaan.

Iklan
Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: 7 maut, 15 cedera dalam insiden tembakan di sekolah Thailand

"Siasatan awal polis menemukan sepucuk pistol 9 milimeter dan 34 butir peluru tambahan di luar magazin," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian pada Jumaat.

Iklan

Trairong berkata, kedua-dua mangsa maut akibat tembakan di kepala dan penyiasat percaya suspek mungkin membunuh mereka sebelum pergi ke sekolah, walaupun urutan kejadian dan masa sebenar masih dalam siasatan.

Beliau berkata, penyiasat juga sedang berusaha mengenal pasti motif kejadian dan membina semula kronologi satu daripada insiden tembakan di sekolah yang paling banyak meragut nyawa di Thailand sejak kebelakangan ini.

Iklan

Suspek yang dikenal pasti sebagai pelajar Sekolah Debsirin Nonthaburi melepaskan tembakan di sekolah itu kira-kira jam 10 pagi mengorbankan enam individu -- tiga guru dan tiga pelajar -- serta mencederakan 15 yang lain.

Polis mengesahkan bahawa suspek turut ditemukan maut di sekolah berkenaan. - Bernama