Beri ruang kepada pelajar untuk sedia hadapi peperiksaan

Iklan
Mohd Alif Anas

SHAH ALAM - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyambut baik penstrukturan sistem peperiksaan dan pengurusan sekolah oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)dalam menangani isu pendidikan yang terjejas akibat penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Presidennya, Mohd Alif Anas Md Noor berkata, keputusan KPM membatalkan dan menangguhkan peperiksaan awam itu secara tidak langsung mampu memberi ruang buat pelajar bersedia menghadapi peperiksaan selepas ini.

Iklan
Iklan

"Pembatalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bagi tahun 2020 dan digantikan dengan kaedah penilaian baharu juga amat bersesuaian melihat kepada situasi yang mendesak akibat penularan Covid-19.

"Justeru, kami berharap setiap tindakan dan langkah yang diambil oleh KPM tidak akan menjejaskan proses pembelajaran dan pengajaran kepada pelajar,” katanya menerusi satu kenyataan media di sini semalam.

Iklan

Kementerian Pendidikan semalam mengumumkan membatalkan peperiksaan awam peringkat rendah bagi tahun ini, sementara peperiksaan awam peringkat tinggi dianjak sehingga tahun depan, selepas takwim pendidikan terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

Menteri Kanan (Pendidikan) Mohd Radzi Md Jidin berkata, peperiksaan yang dibatalkan ialah Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

Iklan

Mengulas lanjut, Mohd Alif Anas turut menyifatkan KPM telah menjalankan usaha yang terbaik dengan mengkaji dan mengambil respons daripada pelbagai pihak termasuk Exco Pendidikan negeri serta badan bukan kerajaan (NGO) pendidikan seperti GPMS bagi memastikan langkah yang dibuat itu adalah yang terbaik untuk pelajar.

Katanya, keprihatinan KPM tentang keselamatan pelajar dan kegusaran ibu bapa dalam soal pembukaan sesi persekolahan wajar diberikan pujian.