Tiket aksi Malaysia-Filipina habis terjual

Iklan

SAMBUTAN terhadap Harimau Malaya kekal hangat apabila tiket tempat duduk penyokong tuan rumah bagi aksi terakhir Kumpulan B Piala ASEAN 2026 menentang Filipina di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu malam habis terjual.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi hantaran di media sosial memaklumkan hanya tiket bagi tempat duduk penyokong pelawat masih berbaki dan boleh didapati menerusi laman tickethotline.com.my untuk perlawanan yang dijadual berlangsung jam 9 malam itu.

Iklan
Iklan

Sokongan padu itu hadir menjelang aksi penting skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang kini menghuni tangga kedua Kumpulan B dan memburu kemenangan bagi mengukuhkan peluang mara ke separuh akhir.

Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke pusingan separuh akhir, sekali gus menjadikan pertemuan dengan Filipina medan penting buat Harimau Malaya melengkapkan kempen peringkat kumpulan.

Iklan

Kehadiran penyokong dalam jumlah besar turut membuktikan Harimau Malaya masih mendapat tempat di hati peminat biarpun terdapat gesaan boikot daripada sebahagian kelompok penyokong berhubung isu pengurusan bola sepak negara.

Bagi FAM, sokongan di Cheras dijangka menjadi suntikan tambahan ketika Harimau Malaya memburu tiga mata penting dalam usaha meneruskan cabaran pada kejohanan berkenaan.

Iklan