Empat kereta terbakar di kawasan semak

Iklan
Empat buah kereta yang diparkir di kawasan semak berhampiran lampu isyarat Jalan Sungai Pinang, Jelutong terbakar.

GEORGE TOWN – Empat buah kereta yang diparkir di kawasan semak berhampiran lampu isyarat Jalan Sungai Pinang, Jelutong di sini terbakar awal pagi Jumaat.

Bagaimanapun tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian kira-kira jam 1.35 pagi itu.

Iklan
Iklan

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

Menurutnya, jentera bomba tiba di lokasi lima minit kemudian dan mendapati kebakaran melibatkan empat kenderaan yang diparkir di kawasan semak.

Iklan

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.43 pagi dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 1.50 pagi sebelum kerja-kerja ‘overhaul’ dijalankan bagi memastikan tiada lagi punca kebakaran yang boleh mengundang bahaya.

“Operasi ditamatkan pada jam 2.26 pagi dan tiada mangsa dilaporkan cedera,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, empat kenderaan yang terlibat ialah kereta Hyundai yang terbakar kira-kira 30 peratus di bahagian but belakang, Proton X50 terbakar 40 peratus di bahagian enjin, Perodua Viva terbakar 50 peratus di bahagian belakang serta sebuah Audi yang terbakar 30 peratus di bahagian bonet belakang.

"Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati, Proton X50 dan Perodua Viva tidak mempunyai nombor pendaftaran," ujarnya.

John menambah, identiti pemilik semua kenderaan itu masih belum dikenal pasti.

“Kes diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran JBPM bagi mengenal pasti punca dan tindakan lanjut,” katanya.