BEKAS Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC), Tan Sri Darshan Singh Gill menerima darjah kebesaran diraja Thailand, The Most Admirable Order of the Direkgunabhorn (Fifth Class – Benjama Direkgunabhorn) sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam pembangunan sukan berbasikal.
Anugerah yang dikurniakan oleh mendiang Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej The Great, Rama IX itu disampaikan oleh Naib Presiden Kanan ACC, Jeneral Decha Hemkasri pada satu majlis di Kuala Lumpur pada Khamis.
Pengiktirafan berkenaan diberikan sebagai menghargai jasa serta khidmat Darshan dalam memajukan sukan berbasikal di Malaysia, Asia dan peringkat antarabangsa.
Darshan yang juga bekas Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) berkata, anugerah tersebut bukan sekadar pencapaian peribadi, malah menjadi detik membanggakan buat negara serta seluruh komuniti berbasikal Malaysia.
Beliau pernah menerajui MNCF dari tahun 1988 hingga 1990 sebelum memegang jawatan Presiden ACC bagi tempoh 1996 hingga 2005.
“Pengiktirafan ini turut mencerminkan kemajuan arena berbasikal negara yang telah melahirkan atlet dan pentadbir bertaraf dunia.
“Dulu kita mempunyai M Kumaresan dan Rosman Alwi. Kini kita memiliki legenda Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang telah mencapai tahap tertinggi di dunia dan baru-baru ini meraih pingat emas pada Sukan Komanwel di Glasgow,” katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan.
Menurut beliau, Malaysia turut mencatat perkembangan memberangsangkan dari aspek pentadbiran sukan berbasikal.
“Ia merupakan satu pengiktirafan apabila Presiden MNCF, Datuk Amarjit Singh Gill dipilih sebagai Naib Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), sekali gus menjadi rakyat Malaysia pertama menganggotai badan induk dunia itu.
“Ini membuktikan Malaysia mempunyai keupayaan untuk mentadbir sukan berbasikal hingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Baru-baru ini, Mohd Azizulhasni menamatkan penantian selama 16 tahun untuk bergelar juara Sukan Komanwel selepas memenangi pingat emas acara keirin lelaki di Velodrom Sir Chris Hoy, Glasgow.
Sementara itu, Amarjit mencipta sejarah apabila dipilih sebagai Naib Presiden UCI bagi penggal 2025-2029 pada Kongres UCI ke-194 yang berlangsung di Kigali, Rwanda tahun lalu. - Bernama