Jenaka Cik Man terselit dakwah - Amir Raja Lawak

Iklan
Allahyarham Cik Man dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gual Petai Lima pada Khamis.. Gambar kecil: Amir

TANAH MERAH – Di sebalik telatah mencuit hati yang sentiasa menghiburkan, pelakon veteran, Allahyarham Kamarool Yusoff atau Cik Man sebenarnya menyampaikan dakwah dan nasihat menerusi setiap kata-kata serta karya seninya.

Pelawak dan pelakon, Amir Raja Lawak berkata, Allahyarham bukan sekadar mencipta jenaka untuk menghiburkan orang ramai, sebaliknya menyelitkan mesej yang mengajak masyarakat mengingati kehidupan selepas mati.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setiap kali mendengar Cik Man berbicara, orang ramai mungkin ketawa dengan gaya penyampaiannya, namun jika dihayati, terselit pelbagai kiasan dan pengajaran.

“Bagi saya, itu yang paling penting. Sambil bekerja dan menghiburkan orang, dia tetap mengajak orang mengingati Allah serta akhirat,” katanya.

Iklan

Beliau ditemui ketika menghadiri pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gual Petai Lima di sini pada Khamis.

Allahyarham Cik Man, 68, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 5 petang Rabu ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan, Hospital Tanah Merah kerana masalah jantung.

Iklan

Amir berkata, pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar bukan sahaja kepada dunia seni malah kepada masyarakat yang selama ini mengikuti perjalanan kerjayanya.

“Ini kehilangan besar untuk saya dan seluruh rakyat Malaysia. Ramai akan merasai kehilangan kerana dia mempunyai cara tersendiri mendekati orang.

“Kalau bertemu dengannya, kita pasti akan terhibur. Telatah dan percakapannya membuatkan orang senang dengannya,” katanya.

Menurut Amir, sejak kebelakangan ini Allahyarham juga kerap mengungkapkan tentang syurga, kiamat dan kehidupan akhirat.

Katanya, ketika itu ramai menganggap kata-kata tersebut sekadar gurauan atau kiasan, namun kini dia melihatnya sebagai peringatan yang sentiasa ingin disampaikan Allahyarham kepada orang di sekelilingnya.

“Dia selalu cakap mengenai syurga dan akhirat. Sebenarnya bukan hendak menakutkan orang, tetapi mahu mengingatkan kita supaya sentiasa bersedia.

“Itulah cara dakwah dia. Dia gunakan bahasa yang santai, tetapi maksudnya sangat mendalam,” katanya.

Amir turut menyifatkan Allahyarham sebagai seorang seniman sejati yang mempunyai jiwa seni yang tinggi sejak muda.

Menurutnya, Allahyarham pernah menceritakan pengalaman berkarya menerusi deklamasi puisi di Central Market, Kuala Lumpur sekitar awal 1980-an sebelum dikenali sebagai pelakon.

“Dia bukan sekadar pelawak. Dia orang seni yang sebenar. Kalau kita teliti setiap ayat yang keluar daripada mulutnya, ada nilai, ada falsafah dan ada nasihat di sebaliknya,” katanya.

Dalam pada itu, Amir berkata, Allahyarham juga amat menghormati guru-guru yang membimbing perjalanan seninya dan tidak pernah melupakan jasa mereka walaupun sudah dikenali ramai.

Katanya, Allahyarham sering menyebut nama individu yang banyak membentuk dirinya sebagai anak seni termasuk pengarah dan pelakon veteran tanah air, Meor Hashim Manap serta pengarah filem, penulis serta pelakon, Nasir Jani.