KLANG - Fenomena 'kereta warisan' yang disimpan atas faktor sentimental dikenal pasti menjadi antara punca utama masalah kekurangan parkir di Pangsapuri Seri Perantau di sini apabila kira-kira 120 kenderaan lama dibiarkan tersadai bertahun-tahun tanpa digunakan.
Penduduk Blok G, Norazman Abd Wahab, 53, berkata, kebanyakan kenderaan terbiar itu peninggalan ibu bapa atau ahli keluarga yang sudah meninggal dunia menyebabkan pemilik enggan menjual atau melupuskannya.
Menurutnya, walaupun kereta tersadai itu sudah lama tidak digunakan, pemilik sering memberi alasan kononnya akan membaikinya suatu hari nanti.
"Mereka kata nanti nak baiki dan guna semula, tetapi akhirnya kereta itu terus dibiarkan di parkir sedangkan anak-anak mereka sudah memiliki kenderaan baharu," katanya ketika ditemui pada Khamis.
Norazman berkata, keadaan itu menyebabkan masalah kekurangan parkir di pangsapuri itu semakin serius.
"Pangsapuri ini mempunyai 12 blok dan setiap blok hanya disediakan kira-kira 40 petak parkir.
"Jumlah sedia ada ini tidak mencukupi, lebih-lebih lagi apabila banyak kereta yang tidak lagi digunakan terus dibiarkan memenuhi ruang parkir," ujarnya.
Penduduk Blok B, Saiful Nizam Abu Karim, 45, berkata, terdapat juga keluarga mempunyai dua atau lebih kenderaan sekali gus menambahkan lagi tekanan terhadap ruang parkir yang terhad.
Katanya, keadaan itu menyebabkan ada penduduk terpaksa meletakkan kenderaan secara parkir berganda sehingga mencetuskan perstelisihan faham sesama jiran.
"Kadang-kadang sampai bergaduh sebab isu parkir sebab ada yang buat parkir berganda, pemilik kereta lain sukar hendak keluar masuk," jelasnya.
Menurut Saiful Nizam, selain menyumbang kepada masalah kekurangan parkir, kereta yang dibiarkan bertahun-tahun turut mengundang pelbagai risiko kepada penduduk.
Menurutnya, keadaan itu berpotensi menjadi tempat persembunyian haiwan berbisa seperti ular, selain menjadi lokasi pembiakan nyamuk apabila air bertakung di dalam atau sekitar kenderaan tidak diselenggara.
"Kami harap pemilik segera mengambil tindakan terhadap kenderaan yang sudah tidak digunakan," jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Seri Perantau, Mohamad Md Zain berkata, bagi menangani masalah itu, persatuan penduduk menubuhkan pasukan khas untuk turun padang membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah.
"Kami akan pergi ke setiap rumah untuk mengenal pasti pemilik kereta yang sudah lama ditinggalkan dan mencari jalan penyelesaian supaya ruang parkir dapat dimanfaatkan penduduk yang benar-benar memerlukannya," katanya.
Mohamad menjelaskan, pihaknya sudah membuat laporan kepada Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bagi membolehkan tindakan lanjut diambil terhadap kenderaan yang ditinggalkan di kawasan parkir pangsapuri itu.
"Terbaharu, MBDK menjalankan operasi pada minggu lalu dan mengeluarkan notis selama 14 hari kepada pemilik supaya mengalihkan kenderaan terbiar itu.
"Bagaimanapun, sehingga kini masih ada pemilik yang tidak mengendahkan notis berkenaan," tambahnya.