Xplorasi Warisan KL: Edisi Merdeka bawa rakyat telusuri jejak kemerdekaan

Iklan
Orang ramai berpeluang menelusuri perjalanan negara menuju kemerdekaan menerusi laluan simbolik dari Stadium Merdeka ke Dataran Merdeka menerusi penganjuran Xplorasi Warisan KL: Edisi Merdeka pada 30 Ogos ini

SHAH ALAM - Orang ramai berpeluang menelusuri perjalanan negara menuju kemerdekaan menerusi laluan simbolik dari Stadium Merdeka ke Dataran Merdeka menerusi penganjuran Xplorasi Warisan KL: Edisi Merdeka pada 30 Ogos ini sempena sambutan Bulan Kebangsaan.

Program anjuran Warisan KL bersama rakan-rakan strategiknya itu menghimpunkan peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat dalam satu pengembaraan warisan berskala bandar merentasi teras bersejarah Kuala Lumpur yang menggabungkan elemen penemuan, kerja berpasukan dan cabaran interaktif di mercu tanda utama dalam koridor warisan Warisan KL.

Iklan
Iklan

Lebih daripada sekadar satu aktiviti cabaran, Xplorasi Warisan KL: Edisi Merdeka mengajak peserta menelusuri semula perjalanan Malaysia menuju kemerdekaan.

Bermula di Stadium Merdeka, lokasi pengisytiharan kemerdekaan pada tahun 1957 dan berakhir di Dataran Merdeka, tempat Jalur Gemilang pertama kali dikibarkan, para peserta akan merentasi koridor warisan Warisan KL sambil menyingkap kisah sejarah, ketahanan dan pembinaan negara sepanjang perjalanan tersebut.

Iklan

Menurut Warisan KL, eksplorasi tersebut merupakan sebahagian daripada siri program yang mengetengahkan warisan, budaya dan penglibatan komuniti.

"Para peserta akan menyelami bagaimana warisan, budaya dan komuniti bersama-sama menghidupkan kisah kemerdekaan Kuala Lumpur.

Iklan

"Sebagai sebuah platform yang meraikan dan memperkasa warisan Kuala Lumpur, Warisan KL mengangkat pendekatan berteraskan rakyat dalam usaha pemeliharaan warisan dengan menghidupkan semula lokasi bersejarah sebagai ruang dinamik untuk pembelajaran, penerokaan dan penglibatan komuniti," katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, melalui perkongsian strategik serta tindakan kolektif, inisiatif tersebut menghimpunkan agensi kerajaan, rakan sektor awam dan swasta, penggiat budaya, komuniti serta orang ramai bagi memelihara, mempromosi dan memperkasakan warisan ibu kota untuk generasi kini dan akan datang.

Sepanjang eksplorasi, peserta akan menyertai pelbagai aktiviti termasuk misi bertemakan warisan, teka-teki, cabaran fotografi, pengumpulan cop, cabaran digital dan aktiviti kreatif yang membawa mereka mengenali kisah, budaya serta komuniti yang membentuk Kuala Lumpur sebagai destinasi warisan yang hidup.

Selepas menamatkan penerokaan di tapak-tapak warisan Warisan KL, peserta akan berkumpul di Dataran Merdeka untuk menyertai sambutan Ambang Merdeka dan majlis penyampaian hadiah, selain menikmati pelbagai persembahan kebudayaan, bazar, hiburan serta acara detik hitung mundur Hari Kebangsaan.

Program itu terbuka kepada orang ramai, keluarga, pelajar, pasukan korporat, peminat warisan, pencipta kandungan dan pelancong. Pendaftaran kini dibuka dengan penyertaan dihadkan kepada 65 pasukan berdasarkan prinsip siapa cepat dia dapat, selain menawarkan peluang memenangi hadiah wang tunai.

Penyertaan terhad kepada hanya 65 pasukan berdasarkan prinsip siapa cepat dia dapat, dengan peluang memenangi hadiah wang tunai yang menarik.

Tempah tempat pasukan anda di https://shorturl.at/3gFOn dan ikuti Warisan KL di Instagram serta warisankl.my untuk mendapatkan maklumat terkini.