RAMALLAH/ISTANBUL - Tentera Israel menyerbu kem pelarian Qalandiya dan bandar Kafr Aqab di utara Baitulmuqaddis yang diduduki pada awal Rabu, sambil mengenakan sekatan ketat di kedua-dua kawasan itu, lapor Anadolu Ajansi yang memetik Pihak Berkuasa Wilayah Baitulmuqaddis.
Menerusi beberapa kenyataan yang diterima Anadolu, pihak berkuasa itu memaklumkan bahawa tentera Israel menguatkuasakan perintah berkurung di Kafr Aqab dan mengerahkan kenderaan tentera ke seluruh kawasan berkenaan.
Menurut pihak berkuasa itu, tentera Israel menghalang umat Islam daripada menunaikan solat Subuh di semua masjid di Qalandiya selain menghantar pesanan teks kepada beberapa penduduk bagi memaklumkan permulaan operasi ketenteraan berskala besar di kem berkenaan.
Pasukan itu turut menahan bapa kepada rakyat Palestin, Laith al-Shawani yang terkorban, manakala sebuah kenderaan tentera Israel melanggar seorang pemuda berhampiran kem itu, menurut wartawan Anadolu.
Tiada maklumat diperoleh setakat ini mengenai keadaan pemuda berkenaan.
Tentera Israel secara berasingan turut mengumumkan pelancaran operasi berskala besar di kem pelarian Qalandiya. - Bernama-Anadolu