Khairul Aming umum lancar Sambal Nyet Bilis di puncak Menara Merdeka 118

Iklan
KA mengumumkan melancarkan produk Sambal Nyet Bilis di puncak bangunan kedua tertinggi di dunia di Kuala Lumpur.

USAHAWAN dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming mengumumkan pelancaran produk keempatnya, Sambal Nyet Bilis akan berlangsung secara eksklusif di puncak Menara Merdeka 118 atau nama rasminya, Menara Merdeka Maybank, Jumaat ini.

Majlis berkenaan dijangka mencipta sejarah sebagai siaran langsung terbesar pernah dianjurkan dengan lokasi pelancaran di mercu tanda tertinggi negara di Kuala Lumpur dan bangunan kedua tertinggi di dunia.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, konsep kemerdekaan menjadi tema utama acara itu sebagai tanda penghargaan kepada pejuang tanah air selain mengajak rakyat Malaysia bersama-sama menghayati nilai patriotisme.

"Sejak berbulan lepas kita telah pun membuat persiapan pastikan majlis ini berjalan lancar dan disebabkan event ini akan berlangsung di tingkat paling atas, banyak perkara yang kita kena dipertimbangkan dan pelbagai idea KA sudah bentangkan kepada pihak pengurusan.

Iklan

"Alhamdulillah mereka sama-sama bersemangat bagi yang terbaik untuk event kita ini. Dari dasar laut bilis ditangkap sama-sama angkat produk tempatan kita ke puncak dunia," katanya menerusi hantaran video pada Rabu.

Menurut Khairul Aming, majlis itu bukan sahaja menyaksikan pelancaran Sambal Nyet Bilis, malah turut mempromosikan produk usahawan tempatan lain bagi membantu memperluaskan perniagaan mereka.

Iklan

Menerusi video itu, KA turut mengingatkan bahawa kejayaan yang dikecapi hari ini tidak seharusnya membuatkan masyarakat melupakan jasa pelbagai golongan yang menjadi tulang belakang negara.

"Kepada nelayan, petani, pekerja, pasukan media dan semua yang terlibat, terima kasih KA ucapkan.

"Dan kepada semua peniaga-peniaga tempatan, teruskanlah berusaha dan sama-samalah kita beri sokongan kepada mereka," ujarnya lagi.

Mengimbau perjalanan perniagaannya, KA berkata, enam tahun lalu beliau hanya menjual botol sambal pertamanya di sebuah kedai runcit kecil di tepi jalan.

"Hasil sokongan anda semua, sambal kedua kita akan lancarkan dari mercu tanda kebanggaan tanah air kita.

"Kita bertuah sebenarnya dapat negara aman, kaya dengan sumber alam, dipenuhi dengan orang-orang yang baik dan merdeka daripada dijajah, jadi janganlah kita lupakan nikmat yang kita dapat ini," katanya.

Beliau turut menitipkan pesanan kepada golongan muda supaya terus menuntut ilmu, berani memasang impian besar dan bekerja keras kerana mereka merupakan generasi yang akan mencorakkan masa depan negara.