SHAH ALAM - Pemergian pelakon filem dan drama, Cik Man atau nama sebenarnya Kamarool Yusoff, 68, merupakan satu kehilangan besar buat dunia seni tanah air.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Allahyarham akan dikenang masyarakat berikutan segala jasa, bakat dan sumbangannya sepanjang bergelar anak seni.
"Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga, sahabat handai dan para peminat atas pemergian pelakon Cik Man sebentar tadi ketika sedang menerima rawatan akibat masalah saluran jantung tersumbat di Hospital Tanah Merah, Kelantan.
"Semoga ALLAH SWT mengampunkan segala dosa beliau, melimpahkan rahmat-Nya, meluaskan kuburnya, serta menempatkan beliau dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berharap seluruh ahli keluarga Allahyarham dikurniakan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi saat-saat yang penuh dukacita itu.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.15 petang ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tanah Merah dipercayai akibat serangan jantung.
Kamarool menceburi bidang lakonan dengan membawa watak Farouk dalam filem Gila-Gila Remaja yang menampilkan Faizal Hussein sebagai hero pada tahun 1986.
Beliau kemudian dikenali dalam kalangan peminat sebagai Cik Man berikutan nama wataknya dan karakter suka 'sembang kencang' dan telatahnya penuh lagak dalam filem Rock Oo arahan Allahyarham Mamat Khalid.