RCI Tabung Haji: SPRM rakam keterangan bekas CFO lebih enam jam

Iklan
Abd Halim

PUTRAJAYA - Keterangan bekas ketua pegawai kewangan (CFO) sebuah syarikat milik badan berkanun direkodkan lebih enam jam pada Rabu bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa membabitkan pembelian saham dua syarikat perladangan bernilai kira-kira RM370 juta.

Rakaman percakapan itu dibuat susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji yang disiarkan menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 29 Julai lalu.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun hanya bekas CFO yang hadir manakala bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) tidak hadir atas faktor kesihatan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, bekas pegawai kanan terbabit hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira jam 10.30 pagi sebelum selesai memberi keterangan sekitar jam 5 petang.

Iklan

“Hari ini merupakan hari kedua rakaman percakapan individu ini diambil selepas dibebaskan semalam (Selasa).

“Rakaman percakapan terhadap individu ini diteruskan bagi melengkapkan siasatan yang sedang dijalankan berhubung hasil penemuan dalam RCI Tabung Haji,” katanya pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, rakaman percakapan bekas CFO terbabit akan bersambung untuk hari ketiga pada jam 10 pagi, Khamis.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bekas CEO dan bekas CFO sebuah syarikat milik badan berkanun ditahan pada Selasa bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam proses pembelian saham dua syarikat perladangan bernilai RM370 juta.

Kedua-dua individu berusia 68 dan 60 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira jam 6.30 petang.

Bagaimanapun kedua-dua mereka dibebaskan atas faktor kesihatan sebelum keterangan disambung pada hari berikutnya.