PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membentangkan enam syor penambahbaikan tatakelola terhadap pelaksanaan Program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memperkukuh kawalan dan pengurusan subsidi minyak masak negara.
Syor itu dibentangkan dibentangkan Ketua Cawangan Task Force Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) SPRM, Fadlyzal Mohd Zain di Bilik Mesyuarat Bunga Raya KPDN di sini pada Rabu.
SPRM dalam kenyataan memaklumkan, penyiasatan tatakelola oleh BPT SPRM memberikan tumpuan kepada aspek dasar dan kuota, pelesenan dan permit, pembekalan dan pengedaran, jualan dan tuntutan subsidi, pemantauan dan penguatkuasaan serta keberkesanan sistem eCOSS.
"Antara syor yang dikemukakan ialah keperluan memperkukuh asas kuota, Prosedur Operassi Standard (SOP) dan verifikasi premis secara lebih telus, memperkukuh ketelusan rekod, pengesanan edaran dan pemantauan pematuhan secara berterusan serta mewujudkan tadbir urus subsidi yang bersepadu, telus, berintegriti dan berasaskan analitik risiko," katanya pada Rabu.
Tambah SPRM, selain itu, BPT SPRM turut mengesyorkan agar eCOSS dinaik taraf sebagai sistem pengurusan subsidi end-to-end yang meliputi permohonan kuota, perbekalan, pengedaran, rekod jualan, nota kredit, tuntutan, bayaran, naziran dan penguatkuasaan.
Jelasnya, ini bagi memastikan tuntutan subsidi dan transaksi hanya berlaku melalui sistem yang sah, berintegriti dan disahkan secara digital.
Sementara itu, Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar menyambut baik syor-syor berkenaan dalam usaha bersama bagi menutup ruang ketirisan, meningkatkan akauntabiliti serta memastikan subsidi minyak masak diurus secara cekap dan sampai kepada golongan yang benar-benar layak.
Persetujuan ini dizahirkan dengan menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola disaksikan oleh Pengarah BPT SPRM, Datuk Mohd Zaki Hassan.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri) KPDN, Datuk Roziah Abudin dan Timbalan Pengarah II BPT SPRM, Norazlina Abd Rahim.