Suami isteri didakwa kemuka tuntutan palsu insentif Daya Kerjaya 2.0 PERKES0

Iklan
Kedua-dua tertuduh diiringi pegawai SPRM ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini untuk pertuduhan pada Rabu.FOTO SPRM PAHANG

KUANTAN- Pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas tuduhan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan insentif Daya Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Tertuduh, Emma Mohd Taha, 42 dan suaminya, Wan Shahnizam Wan Kamaruddin Al Yahya,43 bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu di hadapan Hakim Sazlina Safie.

Iklan
Iklan

Berdasarkan kertas pertuduhan, Emma yang juga pemilik sebuah syarikat didakwa atas tiga pertuduhan membuat tuntutan insentif di bawah Program Daya Kerjaya 2.0 kepada PERKESO dengan mengemukakan dokumen yang disyaki mempunyai butiran dan penyataan palsu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Taman Makmur Jaya, Karak pada 11 Ogos 2024 lalu.

Iklan

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

Sementara itu, Wan Shahnizam yang didakwa atas tiga tuduhan bersubahat dengan isterinya dalam tuntutan tersebut.

Iklan

Pengawal keselamatan itu dituduh mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, pasangan suami isteri itu berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butiran palsu atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM, Ab Azim Ismail manakala kedua tertuduh diwakili peguam,Ahmad Syamsul Akmar Yusof.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Mereka juga perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan sehingga kes selesai selain diarah menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes itu pada 7 September depan.