KAJANG - Seorang kanak-kanak lelaki tanpa identiti ditemui di tepi Lebuhraya SILK berhadapan AEON Cheras Selatan, di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan kanak-kanak berkenaan kira-kira jam 4.30 petang.
Menurutnya, kanak-kanak terbabit dianggarkan berusia lapan tahun, namun maklumat berkaitan nama, tarikh lahir serta bangsa atau keturunannya masih belum dikenal pasti.
"Kanak-kanak itu mempunyai ketinggian kira-kira 120 sentimeter dan berat lebih kurang 30 kilogram.
"Ketika ditemui, dia memakai baju T-shirt berwarna hitam putih serta seluar kelabu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Naazron berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan identiti atau waris kanak-kanak terbabit diminta tampil bagi membantu pihak polis.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di talian 03-8911 4222.
"Maklumat juga boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Sarjan B Karunagaran di talian 012-244 9414," katanya.