KUALA LUMPUR – Kegiatan sindiket memalsukan pasport warga asing bagi mengaburi proses pemeriksaan kesihatan pekerja asing terbongkar selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan tiga individu dalam operasi khas di ibu negara pada Selasa.
Operasi yang dijalankan bermula jam 11 malam di Taman Sri Kuching dan Taman Bukit Cheras itu membabitkan sepasukan pegawai serta anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi berkenaan dilaksanakan hasil maklumat awam serta risikan selama sebulan sebelum pasukan serbuan digerakkan ke premis kediaman yang dipercayai menjadi lokasi kegiatan sindiket terbabit.
“Hasil operasi, seorang lelaki warga Indonesia dipercayai sebagai dalang utama bersama seorang lelaki dan seorang wanita dari negara sama dipercayai ahli sindiket berjaya ditahan.
“Kesemua warga Indonesia yang ditahan berumur antara 30 hingga 50 tahun,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Zakaria berkata, semakan awal mendapati, dalang utama itu memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sektor pembinaan, manakala dua lagi warga asing dipercayai telah tinggal lebih masa di negara ini.
"Kita turut menyita sebanyak 119 naskhah pasport yang dipercayai palsu membabitkan pasport Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Vietnam, Nepal dan India.
"Selain itu, sebuah mesin pencetak, telefon bimbit serta wang tunai RM1,500 dipercayai hasil kegiatan sindiket turut dirampas," katanya.
Beliau berkata, modus operandi sindiket adalah menawarkan perkhidmatan kepada warga asing sekitar Lembah Klang yang ingin menjalani pemeriksaan kesihatan pekerja asing (FOMEMA), namun gagal melepasi pemeriksaan atau berstatus tidak layak.
"Pasport berkenaan dipercayai dipinda atau diubah suai bagi membolehkan ia digunakan semasa proses saringan kesihatan tersebut.
"Sindiket terbabit dipercayai mengenakan bayaran antara RM80 hingga RM130 bagi setiap pasport yang dipalsukan," katanya.
Menurut Zakaria, tangkapan berkenaan merupakan kali kelima membabitkan sindiket yang menggunakan modus operandi sama dan kumpulan terbabit dipercayai telah beroperasi sejak awal tahun.
“Dalang utama ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Imigresen 1959/63, manakala warga asing lain ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama,” katanya.
Beliau berkata, kesemua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
"JIM akan meneruskan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti melanggar undang-undang negara bagi memastikan keselamatan serta kepentingan negara terus terpelihara," ujarnya.