GEORGE TOWN – Polis percaya seorang lelaki yang bertindak secara bersendirian menjadi dalang kepada empat kes jenayah membabitkan pencerobohan, pecah rumah, samun dan kecurian yang dilaporkan di kawasan Tanjung Bungah antara 28 Julai hingga 2 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, siasatan mendapati suspek dipercayai melakukan jenayah secara bersendirian dan mengambil kesempatan terhadap keadaan atau 'opportunistic crime'.
"Polis mengambil maklum mengenai dakwaan yang tular di media sosial berhubung beberapa kejadian jenayah di kawasan Tanjung Bungah sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk.
"Bagaimanapun, katanya, tahap keselamatan di kawasan berkenaan masih terkawal dan polis telah mempertingkatkan rondaan di kawasan perumahan terutama pada waktu awal pagi sebagai langkah pencegahan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, operasi khas turut dijalankan bagi mengesan suspek dan polis yakin individu terbabit akan diberkas dalam masa terdekat.
"Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes atau suspek diminta tampil membantu siasatan polis," ujarnya lagi.
Tambah Abdul Rozak, empat kertas siasatan telah dibuka membabitkan satu kes pecah rumah mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, satu kes samun di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan, satu kes pencerobohan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan serta satu kes kecurian alat kawalan jauh pintu pagar automatik.
“Dua daripada kes berkenaan membabitkan kerugian dianggarkan kira-kira RM17,000 manakala dua lagi tidak melibatkan sebarang kerugian,” katanya.
Terdahulu tular di media sosial aduan penduduk di sekitar Tanjung Bungah mengenai kejadian samun dan lima buah rumah dipecah masuk pada awal pagi Rabu.
Menerusi hantaran tersebut, kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi yang mana, suspek dikatakan memasuki rumah mangsa dengan mengumpil tingkap sebelum mematikan sistem kamera litar tertutup (CCTV).
Dalam kejadian itu, penduduk juga didakwa diugut menggunakan pisau ketika suspek menuntut wang.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden berkenaan.