Gen Z digalak pelajari silat, bentuk kepimpinan dan jati diri seimbang

Iklan
Sesi bergambar kenangan bersama AJK podcast, ahli Silat Cekak Pusaka Hanafi dan ahli SBM cawangan Kelantan.

KOTA BHARU - Golongan Generasi Z (Gen Z) digalakkan mempelajari seni mempertahankan diri, khususnya silat, bukan sahaja sebagai usaha memelihara warisan budaya negara, malah bagi membentuk jati diri, nilai kepimpinan serta kemahiran pengurusan organisasi.

Guru Utama, Pengerusi dan Pewaris Mutlak Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia, Kolonel Kehormat (P.A.) Dr Md Radzi Hanafi berkata, penyertaan dalam seni silat mampu melahirkan generasi muda yang berpegang kepada nilai integriti, berani menghadapi cabaran dan mempunyai disiplin tinggi dalam kehidupan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, sepanjang hampir 33 tahun menerajui Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia sejak 1993, aspek pembentukan sahsiah sentiasa menjadi keutamaan dalam latihan silat.

“Apabila seseorang menyertai Silat Cekak, mereka dididik supaya bercakap benar, menunaikan janji, berani menghadapi cabaran dan sentiasa membetulkan niat sebelum mempelajari ilmu persilatan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam ReIACT’s Podcast Day Siri 3/2026 yang disiarkan menerusi saluran YouTube rasmi UiTM Cawangan Kelantan sempena Majlis Ijazah Persatuan Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Peringkat Negeri Kelantan.

Sesi menandatangan buku pelawat UiTM Cawangan Kelantan, sambil diperhatikan oleh Timbalan Rektor HEP, Pengerusi Persatuan Srikandi Profesional, Penasihat dan presiden Persatuan Silat Cekak Pusaka Hanafi UiTM Caw Kelantan.

Iklan

Kata beliau, dalam era teknologi digital dan media sosial yang berkembang pesat, generasi muda tidak seharusnya mengabaikan warisan seni budaya tempatan yang menjadi identiti negara.

Menurutnya, penguasaan teknologi perlu diseimbangkan dengan pemahaman terhadap budaya dan tradisi agar warisan tersebut dapat dipelihara serta diwariskan kepada generasi akan datang, termasuk Generasi Alpha.

Dr. Md. Radzi berkata, kelangsungan sesebuah pertubuhan silat pada masa kini bukan hanya bergantung kepada kemahiran mempertahankan diri, sebaliknya memerlukan sistem pengurusan organisasi yang cekap dan profesional.

Beliau berkata, ahli persatuan perlu diberi peluang terlibat dalam pentadbiran organisasi, termasuk merancang visi dan misi, mengurus latihan, menganjurkan program serta memperkukuhkan promosi bagi menarik lebih ramai masyarakat mendekati seni silat.

Beliau turut berkongsi sejarah perkembangan Silat Cekak apabila pengasasnya, Allahyarham Ustaz Hanafi Ahmad, sejak awal lagi menyasarkan golongan mahasiswa sebagai kelompok utama dalam mengembangkan persatuan.

Katanya, pendekatan itu dibuat kerana pelajar institusi pengajian tinggi dianggap mempunyai kematangan dalam aspek pengurusan masa, pentadbiran persatuan dan pelaksanaan program, sekali gus membantu memperluaskan pengaruh Silat Cekak di seluruh negara.

Sepanjang menerajui persatuan itu, Dr Md Radzi turut memperkenalkan penubuhan Alumni Silat Cekak dan Yayasan Ustaz Hanafi (YUHA) bagi memperkukuh jaringan kerjasama serta memastikan bekas ahli terus menyumbang kepada pembangunan persatuan.

Menurut beliau, budaya sukarela yang diamalkan ahli Silat Cekak di pelbagai peringkat menjadi antara kekuatan utama organisasi itu dalam memastikan kelangsungan aktiviti tanpa terlalu bergantung kepada imbuhan atau ganjaran.

Md Radzi menerima cenderahati dari Timbalan Rektor HEP, En Meer Zhar Farouk selepas tamat sesi podcast.

Sementara itu, penasihat Persatuan Silat Cekak Pusaka Hanafi dan pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Cawangan Kelantan, Dr Mohammed Iqbal Badaruddin berkata, keseimbangan antara kemahiran persilatan dan pengurusan organisasi perlu diberi perhatian bagi memastikan sesebuah persatuan mampu berkembang secara mampan.

Menurutnya, pengurusan yang berkesan melibatkan pelbagai aspek termasuk dokumentasi, perancangan strategik, tadbir urus dan pengurusan kewangan yang sistematik.

“Gabungan nilai kepimpinan, semangat kesukarelawan dan kemahiran pengurusan mampu melahirkan individu yang lebih matang, berdaya saing dan bersedia memimpin organisasi apabila memasuki alam pekerjaan,” katanya.

ReIACT’s Podcast Day Siri 3/2026 dianjurkan Persatuan Silat Cekak Pusaka Hanafi dengan kerjasama Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni, UiTM Cawangan Kelantan.

Program itu turut dihadiri beberapa tokoh masyarakat serta kepimpinan universiti dan boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi UiTM Cawangan Kelantan.