[VIDEO] Ibu tunggal, jurujual berdepan 16 pertuduhan kemuka tuntutan palsu PERKESO

Iklan

IPOH – Seorang ibu tunggal berdepan 16 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu kerana mengemukakan dokumen mengandungi pernyataan palsu bagi tuntutan insentif di bawah Program Daya Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dua tahun lalu.

Wooi Lee (kiri) dan Shareen Noordin (tengah) masing-masing mengaku tidak bersalah atas 16 pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu.

Iklan
Iklan

Tertuduh, Shareen Noordin David Noordin, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan, Shareen Noordin didakwa atas sembilan pertuduhan sebagai pemilik SN Super Clean Solution kerana memberi ejen PERKESO dokumen Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 yang mengandungi pernyataan palsu bagi memperdayakan prinsipalnya.

Iklan

Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis syarikat di No. 51, Lorong Chengal, Taman Sunlight di sini antara 31 Mac hingga 4 September 2024.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Shareen Noordin didakwa bersama Neoh Wooi Lee, 49, selaku pemilik Century Super Solution mengemukakan dokumen sama yang mengandungi pernyataan palsu kepada ejen PERKESO bagi tuntutan insentif Program Daya Kerjaya 2.0.

Iklan

Perbuatan itu didakwa dilakukan di alamat sama antara 26 Mei hingga 26 Ogos 2024.

Sementara itu, Wooi Lee turut berdepan sembilan pertuduhan kerana didakwa bersubahat dengan Shareen Noordin dalam mengemukakan dokumen mengandungi pernyataan palsu melibatkan SN Super Clean Solution bagi tempoh antara 31 Mac hingga 4 September 2024.

Bagi pertuduhan bersama, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai butiran palsu atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Shareen pula didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 manakala Wooi Lee didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) akta sama dibaca bersama Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman serupa.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Nanthini Gunaseigaran yang mencadangkan jaminan RM4,000 bagi setiap pertuduhan selain syarat kedua-dua tertuduh melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM berhampiran.

Wooi Lee yang diwakili peguam, Sheshalini Ramesh memohon jaminan minimum atas alasan tertuduh merupakan seorang jurujual, mempunyai seorang anak yang masih belajar di universiti selain menghidap penyakit buah pinggang.

Shareen Noordin yang tidak diwakili peguam turut memohon jaminan minimum kerana merupakan ibu tunggal dengan pendapatan tidak menentu, menghidap darah tinggi, diabetes dan sakit saraf selain menjaga seorang cucu orang kurang upaya (OKU).

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin serta menetapkan 10 September depan untuk sebutan semula kes.

Pada 18 Jun lalu media melaporkan sebanyak 1,638 syarikat dipercayai terlibat dalam kes pemalsuan tuntutan insentif Daya Kerjaya 2.0 bernilai kira-kira RM45 juta.

Program Daya Kerjaya 2.0 merupakan bantuan penggajian kerajaan berjumlah RM1,500 sebulan untuk tempoh maksimum enam bulan bagi setiap pekerja yang diambil oleh majikan swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Sasaran program ini ialah orang kurang upaya (OKU), individu parol dan warga emas berusia lebih 60 tahun.

Susulan itu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, operasi Op Daya telah digerakkan pihaknya bermula 9 hingga 17 Jun dengan kerjasama PERKESO.