Projek Penyuraian Trafik Juru–Sungai Dua capai kemajuan 34.63 peratus

Iklan
PTJSD merekodkan kemajuan fizikal sebanyak 34.63 peratus setakat 31 Julai lalu.

GEORGE TOWN – Pakej 1 Projek Penyuraian Trafik Juru–Sungai Dua (PTJSD) merekodkan kemajuan fizikal sebanyak 34.63 peratus setakat 31 Julai lalu sekali gus berada di landasan tepat mengikut jadual pelaksanaan projek.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) berkata, kerja pembinaan di beberapa lokasi utama berjalan lancar dengan kerja-kerja pengalihan utiliti mencapai kemajuan sebanyak 75 peratus.

Iklan
Iklan

Menurut PLUS, kerja geoteknikal di Jalan Tun Hussein Onn yang merangkumi pembinaan jambatan baharu pula telah mencapai 68 peratus manakala kerja di Persimpangan Timur-Barat merekodkan kemajuan 48 peratus sebagai persediaan bagi fasa pembinaan seterusnya.

“Bagi memastikan projek terus bergerak mengikut perancangan, PLUS bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), pasukan perunding dan kontraktor projek mengoptimumkan aktiviti pembinaan menerusi pelaksanaan kerja secara serentak di beberapa lokasi.

Iklan

“Selain itu, waktu bekerja turut dilanjutkan termasuk pada hujung minggu di samping penggunaan jentera berkapasiti tinggi bagi mengekalkan momentum pelaksanaan projek,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, PLUS berkata, PTJSD kini melangkah ke fasa seterusnya apabila proses tender bagi Pakej 2 dan Pakej 5 telah dimulakan dan sedang berjalan.

Iklan

PTJSD dijangka memberi manfaat kepada lebih 200,000 pengguna lebuh raya setiap hari dengan mengasingkan aliran trafik lebuh raya dan trafik tempatan.

Menurutnya, perkembangan itu mencerminkan kesinambungan pelaksanaan projek serta komitmen syarikat dalam memastikan keseluruhan PTJSD dapat direalisasikan mengikut perancangan.

“Pembukaan tender bagi Pakej 2 dan Pakej 5 merupakan satu lagi langkah penting ke arah merealisasikan penyelesaian jangka panjang bagi mengurangkan kesesakan trafik di koridor Juru–Sungai Dua,” katanya.

Tambahnya, PLUS komited untuk terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Kerja Raya (KKR), LLM, Kerajaan Pulau Pinang, pihak berkuasa tempatan, kontraktor serta semua pihak berkepentingan bagi memastikan setiap fasa projek dilaksanakan dengan selamat, cekap dan mengikut jadual.

"Apabila siap kelak, PTJSD dijangka memberi manfaat kepada lebih 200,000 pengguna lebuh raya setiap hari dengan mengasingkan aliran trafik lebuh raya dan trafik tempatan.

"Projek itu juga dijangka mengurangkan tempoh perjalanan di koridor Juru–Sungai Dua daripada kira-kira satu jam kepada sekitar 20 minit sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi serta pembangunan di Pulau Pinang," katanya.

PTJSD ialah merupakan projek berimpak tinggi yang dilaksanakan bagi menyediakan infrastuktur yang mampan dan memberikan manfaat kepada rakyat, bertujuan mengurangkan kesesakan di koridor Juru-Sungai Dua, antara laluan paling sibuk di Lebuhraya Utara-Selatan.

Projek sepanjang 17.3 kilometer, merentasi tiga daerah utama iaitu Seberang Perai Selatan, Tengah dan Utara itu dianggarkan melibatkan kos RM3 bilion.