SHAH ALAM - Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) dan bekas ketua pegawai kewangan (CFO) syarikat milik badan berkanun yang disyaki telah menyalah guna kuasa dalam proses pembelian saham dua buah syarikat perladangan bernilai RM370 juta ditahan untuk siasatan berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.
Menurut sumber, kedua-dua mereka berusia 68 dan 60 tahun telah ditahan semasa hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira jam 6.30 petang, Selasa.
"Bagaimanapun kedua mereka telah dibebaskan malam semalam (Selasa) atas faktor kesihatan.
Tangkapan ini susulan daripada siasatan oleh pasukan khas yang ditubuhkan SPRM bagi menyemak dan meneliti hasil RCI Tabung Haji yang telah didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 29 Julai lalu.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Sinar Harian sebelum itu melaporkan penahanan seorang pengarah syarikat reka bentuk kerana disyaki memberi rasuah kepada seorang bekas ketua pegawai operasi (COO) badan berkanun bernilai kira-kira RM300,000 sebagai balasan membantu mendapatkan projek-projek ubah suai di badan berkanun tersebut.
Suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu direman dua hari sehingga 5 Ogos.
Siasatan awal SPRM mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2014 hingga 2018 dan dipercayai memberi rasuah dalam bentuk pengubahsuaian empat unit rumah milik bekas COO tersebut yang jumlah keseluruhannya bernilai kira-kira RM300,000.
Selain itu, seorang bekas pengurus ladang sebuah syarikat pembekalan anak benih pokok getah di Lembah Klang kerana turut direman tiga hari sehingga 6 Ogos disyaki menyeleweng kontrak pembekalan anak benih kepada anak syarikat sebuah badan berkanun yang terlibat sektor perladangan bernilai kira-kira RM8 juta.
Lelaki berusia lingkungan 50-an itu disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2015 hingga 2017 dan dipercayai telah menyeleweng projek pembekalan anak benih getah di dua buah syarikat perladangan, anak syarikat sebuah badan berkanun melibatkan kontrak bernilai kira-kira RM8 juta.
SPRM sebelum ini memaklumkan telah menubuhkan satu pasukan khas diketuai oleh Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar bagi menyemak dan meneliti hasil laporan RCI Tabung Haji.
Susulan itu, pada Jumaat lepas SPRM telah menggerakkan lapan pegawainya ke Ibu Pejabat Tabung Haji di Kuala Lumpur bagi meneliti dokumen berkaitan.