SHAH ALAM - Prosedur pengendalian bagasi kru penerbangan masih mempunyai ruang yang boleh dimanipulasi sekiranya tiada lapisan saringan keselamatan khusus dilaksanakan sebelum dimuatkan ke dalam pesawat.
Menurut seorang bekas anak kapal, Marzuki (bukan nama sebenar), proses daftar masuk bagasi kru ketika ini lebih tertumpu kepada urusan logistik berbanding pemeriksaan kandungan yang dibawanya.
"Kru akan ke kaunter untuk daftar masuk bagasi sebelum staf bertugas menimbang, meletakkan tag dan menyerahkan baggage stub untuk rujukan sebelum meninggalkan kaunter bagi urusan seterusnya.
"Jika kru membawa barang terlarang, staf kaunter tidak akan tahu kerana tiada saringan dilakukan di kaunter daftar masuk," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Jelasnya, saringan yang dihadapi oleh penumpang dan kru kabin adalah sama cuma mereka mempunyai kaunter khas.
Marzuki yang berpengalaman selama 35 tahun dalam industri penerbangan berkata, penambahbaikan perlu dilakukan bagi mengesan barangan terlarang yang disimpan dalam bagasi seperti pemeriksaan penerbangan dari Kuala Lumpur ke London suatu ketika dahulu.
"Ketika itu, pasukan keselamatan akan melakukan saringan dengan peralatan untuk mengesan dadah dan bahan letupan.
"Cadangan lain boleh dipertimbangkan ialah meletakkan Unit Anjing Pengesan (K9) untuk pemeriksaan akhir oleh Malaysia Airports Holdings Berhad sebelum beg kru dimasukkan ke dalam ruangan khas kru," katanya.
Ujarnya, jika cadangan itu dilaksanakan, bagasi kru akan melalui dua lapisan saringan keselamatan sebelum dimuat ke dalam pesawat.