Penyelarasan kadar pengebumian untuk tingkat kualiti perkhidmatan-MBSA

Iklan
Laporan Sinar Harian.

SHAH ALAM - Penyelarasan kadar pengebumian di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bukan bertujuan untuk membebankan penduduk, sebaliknya ia dilaksanakan bagi menampung penambahan skop perkhidmatan yang kini disediakan secara terus oleh pihak berkuasa tempatan itu kepada waris.

Menurut MBSA, penyelarasan kadar pengebumian tersebut turut memastikan pengurusan tanah perkuburan Islam di bawah pentadbirannya terus berada pada tahap yang sistematik, teratur dan berkualiti.

Iklan
Iklan

"MBSA mengambil maklum pandangan yang dibangkitkan oleh beberapa pihak berhubung pelaksanaan kadar baharu perkhidmatan pengebumian Islam yang mula berkuat kuasa pada 1 Ogos 2026.

"Kadar bayaran pengebumian Islam di bawah pentadbiran MBSA kali terakhir disemak dan dinaikkan adalah pada tahun 2008," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Sinar Harian pada 1 Ogos lalu, melaporkan bantahan Pemuda Pas Selangor terhadap kadar bayaran baharu bagi pengurusan pengebumian di tanah perkuburan Islam di bawah kawasan pentadbiran MBSA seperti yang diumumkan baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Selangor, Dr. Aubidullah Fahim Ibrahim dilaporkan berkata, berdasarkan surat rasmi bertarikh 29 Jun 2026, MBSA telah bersetuju dan meluluskan cadangan kadar baharu bagi pengurusan pengebumian di Seksyen 21 dan Seksyen 31 Shah Alam.

Iklan

Melalui kadar baharu tersebut, caj pengebumian bagi penduduk Shah Alam diselaraskan daripada RM120 kepada RM270, manakala bagi luar Shah Alam daripada RM240 kepada RM390 dan bukan warganegara daripada RM300 kepada RM450, melibatkan tambahan sebanyak RM150 bagi setiap kategori.

Jelas MBSA lagi, tambahan kadar tersebut merangkumi penyediaan liang lahad serta pemasangan kepuk kayu sementara bagi setiap pengebumian.

"Perkhidmatan sebelum ini tidak termasuk dalam kadar sedia ada dan memerlukan waris berurusan berurusan secara berasingan.

"Penyediaan kepuk kayu sementara merupakan satu penambahbaikan perkhidmatan yang dilaksanakan bagi memastikan kawasan perkuburan lebih kemas, seragam dan teratur, selain memudahkan urusan waris tanpa perlu mendapatkan perkhidmatan daripada kontraktor luar.

"Langkah ini juga membolehkan MBSA mengawal kadar kos pemasangan serta mempercepatkan proses penyediaan pusara selepas pengebumian," katanya.

Mengulas lanjut pihak MBSA memberitahu, berdasarkan kajian Jabatan Kesihatan Persekitaran MBSA, kos sebenar pemasangan kepuk kayu yang ditanggung oleh MBSA adalah sekitar RM200 bagi setiap set, manakala kadar tambahan yang dikenakan kepada waris hanyalah RM150, iaitu lebih rendah daripada kos sebenar yang ditanggung oleh pihaknya.

Tambahnya lagi, penyelarasan kadar ini juga mengambil kira peningkatan kos operasi dan penyelenggaraan tanah perkuburan yang semakin meningkat dari semasa ke semasa, termasuk penyediaan kemudahan asas, penyelenggaraan landskap, kebersihan, sistem pengurusan digital serta pengoperasian tanah perkuburan yang lebih moden dan sistematik.

"Untuk makluman, MBSA menguruskan dua tanah perkuburan Islam utama di Seksyen 21 dan Seksyen 31 dengan keluasan keseluruhan kira-kira 120 ekar dan kapasiti hampir 57,430 plot, selain menyediakan pelbagai kemudahan seperti surau, tempat letak kereta, sistem pengurusan i-Pusara, kod QR serta sistem pemantauan keselamatan.

"MBSA sentiasa prihatin terhadap kebajikan masyarakat dan memahami bahawa setiap urusan pengebumian berlaku dalam keadaan keluarga sedang berdepan kehilangan insan tersayang," ujarnya.