BUKIT KAYU HITAM - Seorang warga emas membuat laporan polis selepas mendakwa anak perempuan, menantu dan cucunya hilang serta gagal dihubungi sejak 20 Julai lalu.
Laporan berkenaan dibuat di Balai Polis Bukit Kayu Hitam pada Isnin susulan kebimbangan terhadap keselamatan ketiga-tiga ahli keluarganya itu.
Ketiga- tiga mereka ialah Siti Zulaikha Ahmad Sabri, 36, dan suaminya, Khairul Azhar Ahmad, 39, serta anak mereka, Adid Khairul Azhar, 9, yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Batu 8, Changlun.
Menerusi laporan polis yang dibuat, pengadu memaklumkan kali terakhir dia berhubung dengan mereka pada 20 Julai sebelum semua usaha menghubungi ketiga-tiganya gagal.
Dia turut menghubungi guru sekolah cucunya dan mendapati kanak-kanak terbabit juga didapati tidak hadir ke sekolah.
Katanya, beberapa cubaan menghubungi telefon bimbit anak perempuan dan menantunya juga tidak berhasil, menyebabkan beliau bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku.
Sementara itu, ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim mengesahkan polis telah menerima laporan berhubung kehilangan tiga beranak tersebut.
Menurutnya, siasatan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan rumah mereka mendapati, mereka dikesan pulang ke rumah menaiki kereta pada jam 1.12 pagi Isnin sebelum keluar semula dari rumah pada jam 2.20 pagi hari sama menaiki kereta.
"Kita sedang menjalankan siasatan Orang Hilang. Kita minta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung tiga beranak ini supaya tampil membantu polis.
“Mereka boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu di talian 04-917 2222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya pada Selasa.