KOTA BHARU – Seorang pengurus projek sebuah syarikat pembinaan direman tujuh hari di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa bagi membantu siasatan kes disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM38,000 sebagai balasan membantu mendapatkan projek bekalan air luar bandar di negeri ini.
Perintah reman berkuat kuasa Selasa sehingga Isnin minggu depan itu dikeluarkan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rashid selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 1 petang pada Isnin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kelantan.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai meminta dan menerima rasuah daripada sebuah syarikat kontraktor sebagai balasan membantu mendapatkan projek bekalan air luar bandar secara rundingan terus daripada sebuah kementerian.
“Perbuatan itu disyaki dilakukan pada tahun 2022.
“Suspek dipercayai menerima wang rasuah secara tunai selain melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadinya serta beberapa akaun pihak ketiga,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan, Azmin Yusoff ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.