JOHOR BAHRU - Penjelasan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said berhubung kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan disifatkan sebagai jawapan 'basi' serta tidak menjawab isu sebenar.
Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, alasan landskap politik negeri dan Persekutuan berbeza selain setiap negeri mempunyai perlembagaan serta sultan masing-masing hanya dilihat sebagai usaha menghalalkan kerjasama BN-PN.
“Jawapan Azalina basi, tidak konkrit dan bersifat escapism. Itu jawapan untuk menghalalkan kerjasama BN-PN.
"Pada BN, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) adalah liabiliti,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya pada Selasa.
Pada Isnin, Azalina dilaporkan berkata, kerjasama dan persefahaman yang dilakukan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak melanggar asas pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat.
Ketua Penerangan UMNO itu menambah, pendekatan kerjasama politik di peringkat negeri perlu dilihat secara berasingan daripada kedudukan Kerajaan Perpaduan di pusat kerana setiap negeri mempunyai landskap politik, kepimpinan dan peruntukan perlembagaan yang berbeza.
Dalam pada itu, Mohd Puad yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu turut mendakwa, sebab sebenar BN masih belum bersedia meninggalkan Kerajaan Madani kerana UMNO masih memerlukan kuasa pentadbiran di peringkat pusat.
"Jawapan sebenar kenapa BN belum bersedia tinggalkan Kerajaan Madani ialah seperti yang sering saya dengar dalam mesyuarat MKT.
"Tanpa jawatan menteri, UMNO susah tolong kawan. Susah untuk bangkit dan tiada kuasa tawar menawar," katanya.
Menurut Mohd Puad, perkara itu antara sebab UMNO masih berhati-hati untuk menamatkan persefahaman melalui Memorandum Persefahaman (MoU) BN-PH.
“Maksudnya UMNO belum sedia jadi pembangkang di peringkat pusat. Itu sebenarnya jawapan jujur daripada UMNO. Sebab itu UMNO takut MoU BN-PH dibatalkan," ujarnya lagi.