BERMULA sekadar pencipta kandungan kulinari di media sosial yang sering memikat selera rakyat Malaysia setiap kali menjelang Ramadan, Khairul Aming kini membuktikan bahawa iltizam dan ketekunan mampu mentransformasikan sebuah impian kecil menjadi empayar perniagaan yang gah.
Anak muda kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini bukan lagi nama asing dalam arena usahawan tempatan, malah langkah beraninya sentiasa menjadi sumber inspirasi buat jutaan pengikutnya.
Selepas enam tahun membina nama dan keyakinan peminat dengan hanya bergantung kepada satu produk legendaris iaitu Sambal Nyet Berapi, beliau akhirnya bersedia melangkah ke fasa baharu yang lebih agresif.
Penantian peminat tegar air tangan beliau bakal berakhir Jumaat ini apabila Khairul Aming secara rasminya mengumumkan pelancaran produk keempatnya, Sambal Nyet Bilis.
Pelancaran kali ini disifatkan sebagai projek pelancaran terbesar yang pernah dianjurkan oleh syarikatnya sepanjang bertapak dalam industri.
"Product launch kali ini akan jadi product launch terbesar yang saya pernah buat. Pejam celik, dah enam tahun kita berniaga bersama.
"Terima kasih guys atas support anda semua selama ini," luahnya jujur merakamkan penghargaan buat semua pembeli setia.
Berbeza dengan sambal terdahulu, Sambal Nyet Bilis menjanjikan profil rasa baharu yang lebih berani dan semestinya lebih 'kick'.
Bagi merealisasikan impian menghasilkan produk berkualiti tinggi, Khairul Aming sendiri sanggup turun ke padang meredah lautan seawal subuh di Setiu, Terengganu bersama nelayan tempatan bagi memahami sendiri proses penangkapan ikan bilis segar dari peti laut.
"Bila kita ikut nelayan turun ke laut, baru kita boleh appreciate dan tengok betapa tak mudahnya nak tangkap ikan bilis ini.
"Ia memerlukan kudrat yang sangat kuat dan bukan hari-hari nelayan kita akan dapat bilis yang banyak.
"Reason kenapa kita gunakan ikan bilis dalam sambal baharu ini sebab kita nak dapatkan rasa yang lagi kick, lagi strong macam sambal yang orang lama buat dulu-dulu," kongsinya penuh semangat.
Aroma sambal tradisional
Bagi mendapatkan aroma sambal tradisional yang kaya dan tulen, ikan bilis segar yang diperoleh akan difusi satu per satu sebelum digoreng garing bagi mengunci tekstur serta membiarkan aromanya meresap indah ke dalam minyak.
Selain itu, kejutan terbesar dalam formulasi kali ini adalah penggunaan majoriti cili hijau berbanding cili merah.
Demi mendalami selok-belok penanaman cili hijau, beliau turut melawat ladang pertanian tempatan di Banting, Selangor.
"Reason kenapa kita gunakan cili hijau kali ini sebab nak dapatkan rasa pedas yang lebih lembut, lagi berlemak dan orang kata lagi wangilah ke dalam sambal," jelasnya lagi mengenai nisbah gabungan 7,500 cili hijau dan 2,500 cili merah, di samping tambahan bahan segar seperti tomato, daun limau purut dan belacan bagi melengkapkan rasa umami.
Segala proses pembuatan dijalankan sepenuhnya di tiga buah kilangnya di Kota Bharu, Kelantan yang berkeupayaan menghasilkan lebih 12,000 botol sehari, merangkumi kawalan kualiti, pembersihan, memasak, pembungkusan hingga penghantaran di bawah satu bumbung.
Kejayaan tersebut juga membawa makna mendalam buat komuniti apabila beliau berjaya menggaji lebih 100 anak tempatan yang kekal setia berkhidmat bersamanya.
"Inilah dia produk terbaru Khairul Aming. Diinspirasikan daripada rasa tempatan, dibuat menggunakan bahan tempatan, dihasilkan oleh anak tempatan untuk dinikmati satu dunia," tegasnya penuh bangga menuturkan pengenalan rasmi sambal terbaharunya itu. - SinarPlus