KUALA LUMPUR - Malaysia telah memikul sebahagian besar tanggungjawab terhadap pelarian di rantau ini sejak berdekad-dekad lalu meskipun bukan negara pihak kepada Konvensyen Pelarian 1951, menurut pakar undang-undang antarabangsa, Prof Dr Salawati Mat Basir.
Ketika tampil dalam program Bernama World baru-baru ini bagi membincangkan tajuk ‘Pendekatan Baharu Malaysia dalam Pengurusan Pelarian’, beliau berkata, keadaan itu turut dipengaruhi oleh beberapa faktor, termasuk peluang penempatan semula ke negara ketiga yang terhad.
"Malaysia telah menerima komuniti ini selama kira-kira 40 tahun, sedangkan proses penempatan semula ke negara ketiga semakin perlahan kerana banyak negara maju mengurangkan pengambilan atau menutup sempadan mereka,” katanya.
Salawati menegaskan bahawa Malaysia tidak seharusnya dibiarkan menguruskan kesan krisis itu secara bersendirian.
Menurut angka Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) setakat akhir Februari 2026, Malaysia menempatkan kira-kira 215,600 pelarian dan pemohon suaka berdaftar, termasuk 193,824 orang dari Myanmar.
Daripada jumlah itu, kira-kira 126,144 orang ialah etnik Rohingya.
Menurut laporan media, pihak berkuasa Malaysia telah mula mengenal pasti dan menyaring warga Myanmar yang ditahan di depoh imigresen untuk kemungkinan dihantar pulang menerusi satu aturan yang membolehkan Myanmar menerima sehingga 5,000 orang.
"Myanmar perlu melakukan lebih daripada itu kerana negara berkenaan merupakan punca utama berlakunya perpindahan penduduk.
"Myanmar mesti memastikan sebarang penghantaran pulang dilakukan secara selamat, sukarela dan bermaruah sebelum Malaysia boleh menghantar pulang sesiapa,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, masih terdapat ketidakpastian sama ada aturan itu turut merangkumi pelarian Rohingya berikutan kenyataan rasmi yang berbeza mengenai sama ada ia hanya terpakai kepada warga Myanmar yang diiktiraf pihak berkuasa di Naypyidaw.
"Apabila diumumkan bahawa 5,000 warga Myanmar akan diterima, ramai menganggap mereka ialah etnik Rohingya. Namun, perkara itu masih belum disahkan dengan jelas dan kekal menjadi persoalan penting,” katanya.
Kerajaan Malaysia memperkenalkan beberapa langkah untuk memperkukuh pengurusan pelarian, termasuk Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) atau"Digital Refugee Registration Document" yang diterajui kerajaan, penggantungan sementara pendaftaran baharu oleh UNHCR serta cadangan saringan bersama membabitkan pihak berkuasa Malaysia.
Salawati berkata, Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat berhak menetapkan syarat bagi operasi pertubuhan antarabangsa di dalam wilayahnya.
Profesor undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia itu berkata, Malaysia tidak terikat dengan Konvensyen Pelarian dan tidak mempunyai Perjanjian Negara Tuan Rumah secara rasmi yang mengawal operasi UNHCR, yang selama ini dilaksanakan menerusi aturan pentadbiran dan persefahaman diplomatik.
Beliau berkata, Malaysia wajar mempertimbangkan untuk mempercepatkan pemeteraian perjanjian rasmi bagi menetapkan dengan jelas tanggungjawab, batasan serta hubungan UNHCR dengan kerajaan.
Menurutnya, perjanjian itu perlu mewajibkan kakitangan dan operasi UNHCR mematuhi Perlembagaan Persekutuan, undang-undang imigresen dan keperluan keselamatan negara, di samping memastikan kerajaan mempunyai pengawasan terhadap penentuan status pelarian serta akses kepada rekod pendaftaran.
"Data UNHCR mesti disalurkan secara langsung ke dalam pangkalan data pendaftaran dan keselamatan negara Malaysia bagi menghapuskan identiti yang tidak disahkan atau pendaftaran berganda,” katanya.
Salawati menyifatkan DPP sebagai perubahan besar daripada sistem yang sebahagian besarnya ditadbir sebuah agensi antarabangsa kepada sistem di bawah pengawasan langsung negara.
Beliau berkata, pangkalan data berpusat dapat membantu menangani jurang keselamatan dan perisikan, memperkukuh proses saringan polis dan imigresen serta membendung penggunaan dokumen pelarian palsu.
UNHCR turut menyifatkan inisiatif itu sebagai langkah penting ke arah pendekatan terhadap isu perpindahan paksa yang diterajui negara.
Namun, Salawati mengingatkan bahawa penguatkuasaan lebih ketat perlu membezakan antara pelarian sebenar yang melarikan diri daripada penganiayaan dengan individu yang menyalahgunakan dokumen pelarian.
Beliau berkata, mereka yang mempunyai status pelarian yang sah perlu terus diberikan perlindungan selaras dengan prinsip kemanusiaan dan hak asasi manusia.
Salawati turut menggesa tanggungjawab serantau dan antarabangsa dipertingkatkan, sambil menegaskan negara tuan rumah barisan hadapan seperti Malaysia tidak seharusnya dibiarkan menguruskan kesan perpindahan penduduk hampir secara bersendirian.
Beliau berkata, ASEAN perlu menggunakan pengaruh diplomatiknya untuk menggalakkan Myanmar menangani keadaan yang memaksa penduduk melarikan diri serta mewujudkan persekitaran yang membolehkan komuniti terbabit pulang dengan selamat.
Myanmar kekal sebagai anggota ASEAN meskipun tidak dibenarkan menyertai mesyuarat politik peringkat tertinggi pertubuhan itu susulan pengambilalihan kuasa oleh tentera pada 2021.
Salawati berkata, negara maju juga perlu meningkatkan peluang penempatan semula kerana kuota yang terhad dan proses yang perlahan menyebabkan ramai pelarian terpaksa berada lebih lama di negara transit.
Kenyataan beliau dibuat ketika perdebatan awam mengenai isu Rohingya di Malaysia kembali tercetus, dengan perbincangan terbaharu di media sosial mendorong sesetengah pihak menggesa mereka diusir serta menghidupkan semula kebimbangan mengenai ucapan kebencian dan diskriminasi.