Pemandu Ativa disyaki langgar tiga kenderaan, sebabkan seorang warga emas maut direman

Iklan
Kejadian membabitkan dua buah kereta dan dua buah motosikal pada Ahad. Foto tular

KULIM – Seorang penjual ikan direman kerana disyaki terbabit kemalangan membabitkan tiga kenderaan lain sehingga menyebabkan seorang warga emas maut dalam kejadian di Jalan Kulim - Kelang Lama di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Syamsul Sinring berkata, lelaki berusia 26 tahun itu direman tiga hari bermula Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan berlaku kemalangan membabitkan dua kereta dan dua motosikal di lokasi berkenaan.

Kemalangan menyebabkan seorang warga emas maut. Foto tular

Iklan

"Hasil siasatan awal mendapati, kereta jenis Perodua Ativa dipandu lelaki berkenaan dalam perjalanan dari Padang Serai menghala ke IPD Kulim bagi membuat laporan polis berkaitan kes kemalangan yang berlaku sehari sebelumnya.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta dipandunya yang sedang bergerak lurus secara tiba-tiba melanggar sebuah kereta Honda City dan sebuah motosikal dari arah belakang, seterusnya terbabas ke lorong kiri menyebabkannya terlanggar sebuah lagi motosikal dari arah belakang tanpa memberhentikan kenderaan," katanya.

Iklan

Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, dua remaja perempuan berusia 18 tahun yang menunggang motosikal mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kaki.

 

Mangsa yang juga warga emas maut di lokasi kejadian. Foto tular

Menurutnya, seorang lagi penunggang motosikal lelaki berusia 75 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu Perodua Ativa yang melanggar kesemua kenderaan dari arah belakang.

"Pemandu itu ditahan bagi membantu siasatan dan dibawa menjalani ujian saringan awal air kencing," katanya.

Syamsul berkata, bagaimanapun, keputusan ujian saringan awal tersebut, negatif dadah.

Semakan mendapati pemandu terbabit mempunyai satu rekod lampau bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan, suspek juga dikatakan terlibat dalam kemalangan membabitkan beberapa buah motosikal di daerah sama dalam kejadian pada Sabtu.