MOM sokong dana tahunan PABM

Iklan
NORZA

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) menyatakan sokongan penuh terhadap permohonan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) untuk mendapatkan peruntukan tahunan sekurang-kurangnya RM1 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, permohonan itu berasas memandangkan sukan angkat berat kini terbukti sebagai antara prospek utama pingat emas negara di pentas antarabangsa.

Iklan
Iklan

“Komitmen kewangan yang berterusan amat penting bagi mengekalkan momentum ini, meningkatkan kebajikan atlet serta melahirkan generasi juara pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, MOM turut komited menyokong pembangunan sukan angkat berat melalui pelbagai saluran, termasuk memanfaatkan geran antarabangsa di bawah Program Perpaduan Olimpik, mengakses dana pembangunan Majlis Olimpik Asia serta menyalurkan bantuan menerusi Tabung Amanah MOM.

Iklan

Sebelum ini, Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat dilaporkan memohon peruntukan tahunan sekurang-kurangnya RM1 juta bagi memperkasakan pembangunan sukan angkat berat.

Menurutnya, peruntukan itu juga wajar diberikan sebagai pengiktirafan dan suntikan semangat kepada skuad angkat berat negara yang muncul sebagai lubuk emas baharu Malaysia selepas mencipta prestasi cemerlang pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Iklan

Sepanjang saingan yang berlangsung dari 26 Julai hingga Ahad, skuad angkat berat negara meraih lima pingat emas, satu perak dan satu gangsa untuk muncul juara keseluruhan acara tersebut.

Lima pingat emas disumbangkan oleh Mohamad Aniq Kasdan (60 kilogram lelaki), Muhamad Aznil Bidin (65kg), Muhammad Erry Hidayat (79kg), Muhammad Hafizuddin Roslin (88kg) dan Muhamad Syahmi Nor Ghazali (94kg).

Norza turut mengucapkan tahniah kepada PABM dan skuad angkat berat negara atas kejayaan bersejarah itu.

Selain muncul juara keseluruhan, PABM turut menerima Trofi Trafalgar, anugerah berprestij kepada pasukan angkat berat lelaki terbaik keseluruhan, pada Mesyuarat Persekutuan Angkat Berat Komanwel di Glasgow pada Jumaat.

Beliau berkata, kejayaan itu membuktikan visi, komitmen dan perancangan strategik kepimpinan PABM yang diterajui Ayub, dengan sokongan barisan pemegang jawatan, jurulatih, atlet, penaja serta rakan strategik. - Bernama