Lebih 200,000 sertai RXZ Members 8.0

Iklan
Ratusan ribu peserta RXZ Members 8.0 berkumpul di Litar Permotoran Gong Badak di Kuala Nerus bagi menghadiri acara yang berlangsung selama dua hari bermula Jumaat.

​KUALA NERUS - Walaupun hampir saban tahun Himpunan RXZ Members merekodkan kes kemalangan maut, kebanyakan peserta dilihat tidak serik malah penganjuran acara permotoran terbesar siri 8.0 pada tahun ini menyaksikan angka penyertaan yang semakin meningkat dengan rekod lebih 200,000 peserta.

Jumlah direkodkan itu sekali gus menjadikan edisi kali ini paling mendapat sambutan sejak ia mula dianjurkan pada 2017.

Iklan
Iklan

​Penganjur RXZ Members 8.0, Mohamad Faizal Mat Ali berkata, jumlah kehadiran itu berjaya mengatasi rekod 160,000 peserta yang dicatatkan pada edisi ketujuh tahun lalu.

​Menurutnya, pihak penganjur pada awalnya menjangkakan jumlah kehadiran akan berkurangan kira-kira 10 peratus berikutan program itu berlangsung serentak dengan hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Iklan

​"Bagaimanapun, jangkaan itu ternyata meleset apabila sambutan yang diterima amat luar biasa dengan lebih 200,000 peminat motosikal Yamaha RXZ hadir memeriahkan program ini.

​Mohamad Faizal berkata, himpunan kali ini bukan sahaja menerima penyertaan peminat Yamaha RXZ dari seluruh negara, malah turut disertai peserta dari beberapa negara jiran.

Iklan

​Katanya, kehadiran peserta dari luar negara membuktikan jenama RXZ Members semakin dikenali dan berjaya menarik perhatian komuniti permotoran di peringkat antarabangsa.

​Selain itu, beliau berkata peningkatan jumlah peserta tahun ini turut dipengaruhi penyertaan pemilik dan pengguna motosikal daripada pelbagai jenama serta model lain yang hadir bagi memeriahkan program berkenaan, walaupun bukan pemilik Yamaha RXZ.

Jelasnya, ​keadaan itu membuktikan RXZ Members bukan lagi sekadar himpunan khusus untuk komuniti Yamaha RXZ, sebaliknya berkembang menjadi acara permotoran berskala besar yang menghimpunkan peminat motosikal dari pelbagai latar belakang.

Himpunan kali ini bukan sahaja menerima penyertaan peminat Yamaha RXZ dari seluruh negara, malah turut disertai peserta dari beberapa negara jiran.

​"Ramai yang datang bukan semata-mata membawa RXZ. Pengguna motosikal jenama dan model lain juga hadir untuk merasai kemeriahan program, bertemu rakan-rakan serta menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan.

​"Faktor itu antara penyumbang utama kepada peningkatan jumlah peserta pada edisi kali ini sehingga melepasi sasaran kami," katanya.

​Menurut Faizal, RXZ Members kini menjadi acara tahunan yang sentiasa dinanti-nantikan peminat motosikal Yamaha RXZ dan ia memberi semangat kepada pihaknya untuk terus menganjurkan program berkenaan pada masa akan datang.

​"Kami berharap edisi seterusnya akan terus mendapat sokongan padu daripada komuniti RXZ, sekali gus mengukuhkan kedudukan Terengganu sebagai destinasi utama penganjuran himpunan motosikal terbesar di negara ini," katanya.

​Program RXZ Members 8.0 yang berlangsung selama dua hari dan berakhir pada Sabtu menghimpunkan peminat motosikal menerusi pelbagai aktiviti termasuk pameran motosikal, jualan produk, cabutan bertuah dan program santai komuniti permotoran.

​Namun begitu, kehangatan penganjuran edisi kali ini turut dicemari dengan beberapa insiden kemalangan maut membabitkan peserta konvoi di sepanjang laluan lebuh raya utama.

​Di Pahang, insiden kemalangan pertama berlaku di Kilometer 112.3, Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) arah Timur berhampiran Temerloh apabila seorang peniaga pasar malam dari Klang, Selangor, Ahmad Danial Hafiz Ahmad Tarmizi, 19, maut di tempat kejadian.

​Mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC135 dalam perjalanan secara berkonvoi menuju ke Terengganu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan tercampak ke lorong kanan jalan sebelum dilanggar oleh sebuah kenderaan lain yang gagal mengelak.

​Satu lagi insiden berhampiran Maran di LPT1 meragut nyawa seorang peserta konvoi lelaki berusia 20an sewaktu rombongan bergerak dalam kumpulan.

Motosikal Yamaha RXZ yang ditunggangi mangsa dikatakan bergeser dengan sebuah lagi motosikal ahli konvoi yang sama sebelum hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian dada serta kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi.

​Masih di LPT1, kemalangan ketiga dilaporkan di Kilometer 147.1 arah Kuantan membabitkan penunggang Yamaha Y125ZR berusia 34 tahun dari Selangor.

​Kejadian berlaku apabila sebuah pacuan empat roda Mitsubishi Triton berhenti di lorong kecemasan untuk memberi bantuan kepada salah sebuah motosikal ahli konvoi yang mengalami kerosakan enjin.

Namun, mangsa yang datang dari arah belakang dipercayai tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian belakang kenderaan berkenaan hingga mengalami kecederaan parah dan maut di tempat kejadian.

​Sementara itu di Terengganu, kemalangan maut direkodkan di Kilometer 258.6, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran R&R Perasing apabila seorang pekerja restoran makanan segera berusia 21 tahun dari Selangor maut.

​Sewaktu melintasi kawasan berkenaan, motosikal Yamaha Y15ZR yang ditunggangi mangsa hilang kawalan akibat jalan licin atau masalah teknikal lalu merempuh penghadang besi di sebelah kiri jalan hingga tercampak ke dalam longkang konkrit.

​Satu lagi kes di LPT2 berlaku di Kilometer 354 berhampiran Kuala Dungun membabitkan pelajar universiti swasta dari Parit Raja, Batu Pahat, Johor, Muhammad Bakhtiar Mazlan, 22.

​Kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang sewaktu mangsa dalam perjalanan pulang dari program RXZ Members 8.0 ke kampung halamannya apabila motosikal Honda Vario yang ditungganginya terbabas ke sebelah kiri jalan secara tiba-tiba.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.